jokisenja header

jokisenja header


Sunday, October 23, 2011

Zulfahmi mula petak ke-13


Muhammad Zulfahmi Khairuddin MotoGp of Italy - Free Practice
SEPANG - Pelumba 125cc negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin akan memulakan saingan pada perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia dari barisan keempat selepas mencatat masa ke-13 terbaik pada sesi kelayakan di Litar Sepang hari ini.

Ia adalah permulaan perlumbaan terbaik buat dirinya sepanjang berlumba di Litar Sepang.

Pada sesi kelayakan hari ini, pelumba AirAsia-SIC-Ajo itu berjaya mempamerkan aksi konsisten dan bertenaga untuk berada di belakang pelumba Jerman, Danny Webb dari pasukan Mahindra Racing untuk mencatat masa dua minit 15.909 saat pada pusingan ke-12 daripada 14 pusingan yang dilakukan. 

"Setakat ini, saya telah berjaya melepasi sasaran peribadi untuk melakukan catatan masa dua minit 15 saat di litar ini.

"Malah pusingan pertama pun saya sudah berjaya perbaiki catatan masa sesi latihan bebas kerana motosikal saya berada di tahap yang terbaik," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi kelayakan kategori 125cc.

Pelumba kelahiran Banting itu berkata beliau berjaya memperbaiki 1.5 saat daripada keseluruhan catatan masa sesi latihan bebas semalam.

"Salah satu faktor merupakan jentera berada di tahap memberangsangkan adalah dengan penggunaan tayar 'soft compound' mengikut suhu permukaan litar. Ia memang banyak mempengaruhi kelajuan jentera," katanya.

Mohd Zulfahmi kini berada tangga ke-18 keseluruhan dengan memungut 21 mata selepas 15 perlumbaan.

Sementara itu rakan senegara yang berlumba atas tiket wildcard, Mohd Farid Badrul Hisham pula meraih petak ke-31 perlumbaan dengan catatan masa 2:19.744s.

"Saya tidak berpuas hati dengan sesi kelayakan hari ini. Saya akui ia jauh untuk mencapai sasaran tempat ke-20 dan saya akan cuba perbaiki pada perlumbaan esok," kata pelumba yang berumur 18 tahun dari Kajang, Selangor itu.

Pada sesi kelayakan kategori 125cc, menyaksikan persaingan antara dua pelumba Bankia Aspar Team 125cc, Nicolas Terol dan Hector Faubel serta pelumba Jerman, Sandro Cortese dari pasukan Intact-Racing Team Germany.

Pendahulu saingan 125cc musim ini, Terol, yang mengutip 271 mata, mencatat masa terpantas untuk menyambar petak pertama dengan catatan terpantas 2:13.579s, manakala Faubel di petak kedua selepas ketinggalan 0.015 saat, manakala Cortese mencatat 2:13.954s.

No comments:

Post a Comment