jokisenja header

jokisenja header


Monday, October 17, 2011

ARRC: AZLAN KEEMPAT TERPANTAS DI ZHUHAI



Seperti yang dijanjikan, Azlan Shah Kamaruzaman memberi sepenuh tumpuan apabila  memulakan kempen dengan begitu baik sekali pada saingan perlumbaan kedua terakhir Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS yang berlangsung di Litar Antarabangsa Zhuhai, China, hari ini.

Pelumba Boon Siew Honda Racing Malaysia itu muncul pelumba keempat terpantas selepas mencatatkan masa 1:39.945s. Walaupun sekadar di kedudukan keempat, Azlan tidak berasa gusar memandangkan semuanya dalam keadaan yang cukup baik.

Dia berkata, "Catatan yang dilakukan kelima-lima pelumba terpantas begitu kompetitif di mana kami hanya dibezakan dengan satu saat sahaja. Contohnya, Katsuaki Fujiwara yang menjadi pelumba terpantas hari ini (1:39.786s) hanya 0.284s lebih pantas berbanding saya manakala M.Fadli (1:39.786s) di kedudukan kedua pula hanya 0.118s di hadapan. Saya perlu bersedia untuk menghadapi saingan sengit pada perlumbaan akhir, Ahad nanti."

Pelumba 27 tahun itu berkata dia meletakkan sasaran untuk berada di kalangan tiga pelumba terpantas pada sesi kelayakan kedua, esok. "Saya masih belum berbincang dengan jurutera saya tentang pelarasan enjin dan kami akan melihat apa yang boleh dipertingkatkan lagi. Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan keadaan jentera selain turut berharap dapat melakukan yang lebih baik pada sesi kelayakan kedua," kata Azlan yang kini menghuni tangga kedua dalam senarai keseluruhan dengan 114 mata.

Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) turut beraksi baik apabila muncul pelumba keenam terpantas dengan masa 1:40.378s diikuti Mohd Zamri Baba (PETRONAS Yamaha Malaysia), kelapan, 1:40.726s.

Ahmad Fuad Baharudin dari Bike A.R.T Racing di kedudukan ke-10 dengan 1:41.292s manakala Mohd Zaqhwan Zaidi dari Boon Siew Honda Racing yang beraksi buat pertama kali di pentas ARRC di kedudukan ke-17 (1:42.551s).

Rakan sepasukan Azlan, Mohd Emir Firdaus Hasan dan rakan sepasukan Zamri, Mohd Hafieenaz Ali di kedudukan ke-16 dan ke-22 dengan catatan 1:45.639s.

Dalam kategori Underbone 115cc, Mohd Ramdan Mohd Rosli memulakan perlumbaan minggu ini dengan cemerlang apabila mencatatkan masa sepusingan terpantas pada sesi kelayakan pertama. Pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM itu melakukan catatan 2:12.416s yang dilakukannya pada pusingan keeempat.

Pelumba 15 tahun itu gembira dengan kejayaan mendahului pelumba-pelumba lain. "Saya sangat berpuas hati dengan keputusan yang dicatatkan pada hari ini. Tidak ada apa yang perlu diperbaiki lagi, cuma mungkin perlu menukar spoket, selain itu saya percaya masih ada ruang untuk terus meningkatkan lagi prestasi saya," katanya.

Tidak jauh ketinggalan ialah Mohd Affendi Rosli dari Harian Metro Y-TEQ SCK Honda  yang berada di kedudukan kedua dengan catatan terpantas 2:13.290s. Mohd Iskandar Raduan yang menggantikan Shahril Izzuwan Mohd Noor mencatat masa kelima terpantas dengan 2:13.545s, diikuti rakan sepasukan Affendi, Norizman Ismail di kedudukan keenam dengan 2:14.721s.

Affendi gembira kerana segalanya berjalan dengan lancar pada hari ini. "Semuanya dalam keadaan baik. Kami akan mencuba pelarasan baru pada hari esok dan lihat bagaimana keputusannya. Mudah-mudahan kami dapat menghasilkan kejayaan pada minggu ini," kata pelumba 26 tahun itu.

Pelumba Motul Yamaha YY Pang, Zaidy Mohd Zaifaizal yang beraksi buat pertama kali di Litar Antarabangsa Zhuhai berupaya mencatat masa ketujuh terpantas dengan catatan 2:15.314s. Dia berkata, "Saya masih dalam proses untuk memahami keadaan litar dan yakin saya mampu mencatat masa yang lebih pantas pada hari esok."

Mohd Amirul Ariff Musa (Pachie Yuzy Honda Racing) dan Ahmad Afif Amran dari Yamaha CKJ TJM Racing, kedua-duanya mengalami masalah teknikal pada sesi kelayakan namun Amirul masih berupaya mencatat masa ke-11 terpantas dengan catatan 2:16.716s manakala Afif terpaksa keluar selepas separuh pusingan sahaja.

Peminat-peminat di Malaysia boleh menyaksikan Perlumbaan 2 secara langsung di Astro SuperSports pada Ahad ini bermula jam 2.30 petang. Maklumat lanjut, lawati laman web rasmi Kejuaraan, www.arrc.com.my dan juga menyertai laman Facebook di www.facebook.com/AsiaRoadRacing

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment