jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, October 5, 2011

ZAMRI DAN HAFIZH ISI SLOT WILDCARD MOTO2




Segala persoalan terjawab apabila nama Mohd Zamri Baba dan Hafizh Syahrin Abdullah diumumkan akan mengisi slot dua pelumba wildcard Moto2 negara yang bakal beraksi pada Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia di Litar Antrabangsa Sepang pada 21 hingga 23 Oktober depan.

Zamri, 28, dan Hafizh, 17, berjaya meyakinkan panel pemilihan penganjur Program Wildcard Moto2 yang terdiri daripada Ketua Jurutera, Koji Takahashi dan Naoki Shimizu, pelumba ujian Moriwaki, Shogo Moriwaki, Pengarah Promosi Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd (TWMR), Ron Hogg dan bekas pelumba MotoGP Malaysia, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini bahawa mereka layak menerima tiket wildcard berdasarkan prestasi terbaik yang dipamerkan sepanjang dua sesi ujian pada Ogos dan September lepas.

Kedua-dua pelumba ini akan membawa cabaran negara bersama pasukan PETRONAS Malaysia pada Grand Prix Malaysia akan datang.

Pemilihan pelumba-pelumba ini dibuat berdasarkan aksi konsisten, peningkatan yang ditunjukkan sewaktu menggunakan jentera Moriwaki, catatan masa pada setiap pusingan dan kebolehan untuk terus memajukan diri sepanjang minggu perlumbaan MotoGP.

Zamri yang beraksi bersama pasukan PETRONAS Yamaha Malaysia di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS diberi kepercayaan untuk mengendalikan jentera baru MD2011 manakala Hafizh dari PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline yang turut beraksi di ARRC PETRONAS akan membuat kemunculan pertamanya di peringkat dunia dengan menggunakan jentera MD2010, model sama yang digunakan Zamri pada tahun lepas. Walaupun tidak terpilih, Azlan Shah Kamaruzaman (Boon Siew Honda Racing Malaysia) memainkan peranan sebagai pelumba simpanan.

Pengerusi Persatuan Automobil Malaysia (AAM), YM Tunku Datuk Mudzaffar Tunku Mustapha menyeru agar rakyat Malaysia memberi sokongan padu dan tidak mengharapkan keputusan yang tidak realistik terhadap Zamri dan Hafizh yang akan beraksi menentang 40 pelumba terbaik di dunia.

"Sudah tentu mereka tidak dapat mengelak daripada tekanan apabila berhadapan dengan perlumbaan yang paling mencabar dalam karier perlumbaan mereka, namun kita jangan meletakkan sasaran yang terlalu tinggi terhadap mereka. Apa yang boleh kita harapkan agar mereka dapat mencatat masa yang baik sewaktu sesi latihan dan terus mempamerkan peningkatan selain dapat menyerap segala pengalaman yang mereka lalui sepanjang perlumbaan MotoGP nanti. Kita perlu menyedari bahawa program ini sebenarnya masih berada di peringkat awal dan mungkin satu hari nanti kita dapat melihat pelumba-pelumba negara menamatkan perlumbaan di atas podium," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar PETRONAS Motorsports, Pn. Anita Azrina Abdul Aziz menekankan bahawa Program Wildcard Moto2 ini diadakan bukan sekadar untuk mempamerkan kebolehan pelumba Malaysia tetapi lebih daripada itu di mana ia melibatkan kerjasama semua pihak yang berada dalam industri ini. 

"Kita dapat melihat pengeluar-pengeluar yang berbeza berganding bahu dan bekerjasama untuk menjayakan program ini dengan mengetepikan perbezaan jenama dan persaingan di antara mereka.  Selain itu, program wildcard ini juga turut melibatkan pemindahan teknologi dan pengetahuan oleh Moriwaki Engineering yang akan membantu mewujudkan mekanik dan jurutera Malaysia berada di tahap tertinggi," kata Pn. Anita.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment