jokisenja header

jokisenja header


Thursday, November 10, 2011

RAMDAN MAHU PERBAIKI KEDUDUKAN DI SEPANG




Mohd Ramdan Mohd Rosli berhasrat untuk memperbaiki kedudukan keseluruhannya pada pusingan kedua terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Selatan) pada 12 dan 13 November ini. 

Rentetan nasib malang yang dialami pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM itu pada musim ini bagaimanapun tidak menghalangnya melonjak ke kedudukan kelima dari tangga ke-13 dengan mengumpul 72 mata pada perlumbaan sebelum ini. Walau bagaimanapun, dia berkongsi kedudukan dengan Mohd Taufiq Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) yang turut mengumpul jumlah mata sama.

Mendahului kedudukan keseluruhan ialah Norizman Ismail dari Harian Metro TEQ SCK Honda Racing dengan 102 mata diikuti Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline), Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Racing) dan rakan sepasukan Norizman, Mohd Affendi Rosli yang terikat di tangga kedua dengan mengumpul 79 mata.

Ramdan yang ketinggalan tujuh mata kepada ketiga-tiga pelumba di tangga kedua itu percaya dia masih mampu untuk merapatkan jurang perbezaan dan seterusnya menduduki tangga ketiga keseluruhan.

"Pada peringkat ini jurang mata di kalangan 10 pelumba teratas begitu rapat dan melihat kepada keadaan semasa, saya masih berpeluang untuk memperbaiki kedudukan," kata pelumba 15 tahun yang memenangi pusingan pembukaan di Kangar dan menduduki tempat kedua di Teluk Intan (Pusingan 5) dan Melaka (Pusingan 8).


"Walaupun ini merupakan musim pertama saya bersaing dengan pelumba-pelumba handalan dan lebih berpengalaman namun saya tetap mahu menamatkan perlumbaan musim ini dengan keputusan yang terbaik. Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi atau tidak realistik namun sasaran saya adalah untuk berada di tiga kedudukan teratas. Jika bukan kerana nasib malang yang saya lalui sepanjang musim ini, sudah pasti saya berada dalam kedudukan yang lebih baik," tambah Ramdan yang tidak beraksi sebanyak tiga pusingan akibat mengalami kecederaan buku lali sewaktu menjalani latihan motocross.

Selain itu, dia terbabas sewaktu saling bersaing dengan Hafizh di Alor Setar (Pusingan 6) dan mengalami masalah jentera sewaktu di Kluang (Pusingan 7).

Bertanya tentang sasaran pada perlumbaan minggu ini, dia berkata, "Hanya kedudukan podium menjadi sasaran saya kerana hanya itu yang dapat mengukuhkan kedudukan keseluruhan saya. Tahun lepas saya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga sewaktu beraksi dalam kategori CP115 dan pada tahun ini saya yakin untuk mencatat keputusan yang lebih baik."

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment