jokisenja header

jokisenja header


Sunday, October 23, 2011

Ayuh berganding bahu! - Ron


Perlumbaan hujung minggu ini merupakan pengalaman kedua Zamri Baba manakala yang pertama buat Hafizh Syahrin Abdullah dalam perlumbaan MotoGP2.

KUALA LUMPUR - Buat julung kalinya, pasukan PETRONAS Malaysia akan mempamerkan jentera Moriwaki Moto2 yang akan digunakan oleh kedua-dua pelumba negara, Mohd Zamri Baba dan Hafizh Syahrin Abdullah pada Grand Prix Motosikal (MotoGP) pada majlis memperkenalkan jentera di Kuala Lumpur City Center (KLCC) hari ini.

PETRONAS merupakan penaja utama tetapi pasukan ini turut di sokong oleh Moriwaki Engineering, Boon Siew Honda, Hong Leong Yamaha Motor, Two Wheels Motor Racing (TWMR), Astro Arena, Litar Antarabangsa Sepang, Persatuan Automobil Malaysia (AAM), Racing Boy, Uma Racing, Shoei, MotoDotMania dan Dunlop.

Zamri, 28 tahun, akan menggunakan jentera nombor 87 manakala Hafizh, 17 tahun dengan jentera nombor 86. Bakat kedua-dua pelumba ini diasah melalui penglibatan mereka di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dan Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS.

Walaupun tahun 2011 merupakan tahun kedua Malaysia mendapat tiket wildcard dalam Moto2, Pengarah Promosi TWMR, Ron Hogg berkata ia tidak akan tercapai tanpa penglibatan semua pihak yang berada dalam industri sukan pemotoran.

Menurutnya, "Kita semua harus berganding bahu dan sama-sama bekerja memandangkan program ini bukan penglibatan satu pihak sahaja. Ia membabitkan seluruh industri terdiri daripada pengeluar-pengeluar berbeza, pelbagai penaja, pasukan-pasukan dan pelumba-pelumba untuk mencapai matlamat yang sama iaitu untuk menyediakan pendedahan secukupnya kepada pelumba dan pasukan sebelum mereka beralih ke tahap yang lebih tinggi.

"Dengan pengalaman yang diperolehi ketika beraksi di peringkat MotoGP ini, ia akan membantu kita untuk meningkatkan lagi tahap perlumbaan di Malaysia bukan sahaja di kalangan pelumba-pelumba, malah pasukan, jurutera perlumbaan, kru, penaja dan lain-lain.”

Bertanya tentang sasaran untuk kedua-dua pelumba dan bagaimana dia melihat kemampuan program ini terus berkembang pada masa hadapan, beliau berkata, "Melihat kepada persaingan sengit dalam kelas Moto2 ini, kami berharap kedua-duanya, Zamri dan Hafizh dapar melakuakn catatan masa sepusingan yang baik dan terus menunjukkan peningkatan sepanjang minggu perlumbaan."

"Untuk masa hadapan, sudah tentu kami mahu terus melakar kejayaan demi kejayaan tetapi pada masa yang sama, kami berharap lebih ramai penaja akan bekerjasama dan melabur demi menyokong industri sukan lumba motor tanah air. 

"Adalah harapan kami untuk melihat lebih ramai pelumba dapat beraksi di peringkat antarabangsa tanpa memikirkan berapa lama mereka dapat mengekalkan karier perlumbaan. PETRONAS telah mengubah industri pemotoran negara dan pada ketika ini kami juga memerlukan lebih banyak sokongan dari pihak lain untuk memajukan lagi sukan pemotoran dan menjadikan ia yang terbaik!" kata Ron sambil berharap semua peminat-peminat di Malaysia dapat hadir beramai-ramai ke Sepang pada minggu ini dan memberikan sokongan penuh kepada pelumba negara.

No comments:

Post a Comment