jokisenja header

jokisenja header


Thursday, October 27, 2011

Fazli buru gelaran ke-3 di Melaka


FAZLI berada di tangga kedua keseluruhan dalam kategori CP130 menjelang perlumbaan di Melaka penghujung minggu ini.


IMPIAN Ahmad Fazli Sham untuk merangkul gelaran juara bagi kategori CP130 masih tinggi.
Pelumba Pennzoil Racing itu sudah bersedia untuk melakukan yang terbaik pada Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Stadium Hang Jebat, Melaka esok dan Ahad ini.
Ketika ini, Fazli, 28 menduduki tangga kedua keseluruhan selepas mengumpulkan 79 mata dan dia percaya peluang untuk meraih kejuaraan ketiga dalam kategori Expert/CP130 masih terbuka.
"Selepas perlumbaan di Kluang, saya berada di kedudukan yang agak baik kerana berjaya merapatkan jurang dari 24 ke 15 mata dengan pendahulu, Norizman Ismail dari TEQ SCK Honda Racing yang kini memimpin senarai keseluruhan dengan 94 mata," kata Fazli yang memenangi gelaran Expert pada tahun 2007 dan 2008.
"Selain itu saya juga mempunyai kelebihan 16 mata berbanding pesaing terdekat, Mohd. Affendi Rosli (TEQ SCK Honda Racing) dan Mohd. Taufiq Roslan (Yamah Maju Motor Racing) yang terikat di kedudukan ketiga (63 mata).
"Oleh itu, tumpuan saya sekarang adalah untuk merapatkan lagi jurang mata dan saya mempunyai tiga pusingan lagi untuk melakukannya.
"Saya berharap untuk terus mengekalkan momentum sebelum ini dan mahu mengutip mata maksimum.
"Itu merupakan perkara yang saya mahukan, namun saya tetap berpuas hati jika dapat menamatkan perlumbaan di hadapan Norizman dan Affendi."
Namun, Fazli yang menampilkan prestasi turun naik sepanjang musim ini berharap agar segala-galanya akan berjalan lancar di Melaka.
"Setakat ini, hanya dua kali saya dapat berdiri di atas podium. Kali pertama ketika memenangi perlumbaan di Batu Kawan (Pusingan 2) dan kali kedua pula sewaktu pusingan lepas di Kluang (Pusingan 7) di mana saya berjaya menduduki tempat ketiga."
"Pasukan saya masih baharu dalam perlumbaan ini dan kami masih berusaha membangunkan enjin. Pada masa sama, kami juga banyak belajar daripada percubaan.
"Cuma sebaik memasuki separuh musim ini, barulah kami mencapai keputusan menggalakkan apabila berjaya menamatkan perlumbaan dalam kalangan lima tempat terbaik," jelasnya.

No comments:

Post a Comment