jokisenja header

jokisenja header


Sunday, October 23, 2011

Nasib tak sebelahi pelumba wildcard negara

SEPANG - Harapan pelumba wildcard kategori 125cc, Mohd Farid Badrul Hisham untuk melakukan catatan masa terbaik sebelum menghadapi pusingan kelayakan esok sedikit tercalar apabila terbabas pada sesi latihan bebas perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia.

Pada sesi latihan bebas kedua, Mohd Farid sekadar membuat dua pusingan dan mencatat masa 2 minit 19.662 saat untuk berada di kedudukan kedua terakhir daripada 32 pelumba selepas terjatuh di selekoh ketiga.

"Saya tidak sangka saya boleh jatuh. Saya cuba mengelak bertembung dengan seorang pelumba yang keluar dari pit. Bagaimanapun nasib baik motor tidak berlaku kerosakan dan cuma fairing (kulit motor) sahaja yang rosak," katanya ketika  ditemui pemberita selepas tamat sesi latihan bebas itu.

Akibat daripada insiden itu, beliau tidak mengalami kecederaan serius dan hanya lebam di tangan kanannya.

"Saya yakin saya akan dapat beraksi dengan baik dalam sesi kelayakan esok," kata pelumba berusia 18 tahun dari Kajang, Selangor itu.

Mengenai jentera Derby RSW 2011 yang digunakan dalam perlumbaan ini, Mohd Farid berkata beliau agak kecewa apabila tidak dapat beraksi semasa sesi latihan bebas pertama akibat masalah teknikal pada motor.

"Saya mahu memperbaiki persembahan esok. Catatan masa hari ini adalah lebih baik berbanding semasa saya menjalani latihan sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Muhammad Zulfahmi Khairuddin, yang berlumba sepenuh masa dalam kategori 125cc, berkata beliau berpuas hati dengan sesi kedua di mana beliau berjaya memperbaiki catatan masa dengan berkelebihan dua saat. 

Pada sesi pertama, Muhammad Zulfahmi mencatat masa terbaik 2:19.062s pada pusingan ke-13 dan memperbaikinya dengan 2:17.175s pada sesi yang berikutnya.

"Saya tidak mahu mengulangi kesilapan tahun lalu di mana saya gagal meneruskan saingan bagi mencatat masa terbaik dalam sesi kelayakan. 

"Untuk tahun ini, saya mahu membuat penampilan yang terbaik di hadapan penyokong sendiri," kata pelumba yang kini berada tangga ke-18 keseluruhan dengan memungut 21 mata selepas 15 perlumbaan.

Pada sesi kelayakan tahun lepas, beliau sekadar membuat dua pusingan sahaja pada sesi kelayakan selepas terjatuh di selekoh keempat yang memaksanya memulakan saingan dari petak ke-22.

Namun pada hari perlumbaan, beliau berjaya bangkit untuk mendapat tempat ke-16 dalam perlumbaan di Litar Sepang tahun berkenaan.

Pada sesi latihan bebas kategori 125cc, menyaksikan persaingan antara pelumba Sepanyol Nicolas Terol dari pasukan Bankia Aspar Team 125cc dengan pelumba Jerman, Sandro Cortese dari pasukan Intact-Racing Team Germany.

Pendahulu saingan 125cc musim ini, Terol, yang mengutip 271 mata, mencatat masa terpantas pada sesi latihan bebas kedua dengan masa 2:13.864s, manakala Cortese melakukan catatan terpantas sesi latihan bebas pertama dengan 2:14.936s.

No comments:

Post a Comment