jokisenja header

jokisenja header


Monday, October 10, 2011

Zaqhwan beralih ke kategori 600cc


Mohd Zaqhwan Zaidi menunggang jentera 115cc semasa Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS. Gambar arkib.

Mohd Zaqhwan Zaidi melakukan penghijrahan besar dalam karier perlumbaannya apabila beralih dari kategori Underbone 115cc ke SuperSports 600cc  pada Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Zhuhai, China pada 14 hingga 16 Oktober ini.
Pelumba 16 tahun itu menggantikan tempat Mohd Suhadi Ali Rahmat dalam pasukan Boon Siew Honda Racing Malaysia dan akan bergandingan dengan rakan sepasukan  barunya iaitu Azlan Shah Kamaruzaman, 27 tahun dan Mohd Emir Firdaus Hasan, 22 tahun.
Zaqhwan ketika ini menghuni tangga ke-19 dalam kategori Underbone 115cc dengan 19 mata namun dia tidak mahu melepaskan peluang untuk beraksi dalam kategori  SuperSports 600cc.
“Sememangnya sudah menjadi impian saya untuk beraksi dalam SuperSports 600cc dan saya sendiri tidak menyangka peluang itu datang secepat ini,” kata Zaqhwan  yang mula karier perlumbaannya pada tahun lepas.
Sementara itu, pengurus pasukan Zaqhwan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini dari Pachie Yuzy Honda Racing berterima kasih kepada Boon Siew Honda Racing Malaysia kerana  memberi peluang buat pelumba muda itu beraksi di Zhuhai dan juga pusingan akhir di Qatar nanti.
“Kami benar-benar menghargai peluang yang diberikan kepada Zaqhwan untuk dia menimba pengalaman di peringkat Asia. Saya dapat melihat bakat yang ada padanya  dan dengan didikan dan tunjuk ajar yang betul serta pendedahan yang luas, saya percaya dia mampu untuk pergi lebih jauh dalam karier perlumbaannya,” katanya.
Yuzy kemudiannya menambah, "Ini merupakan perlumbaan pertama Zaqhwan dalam kategori SuperSports 600cc dan juga kali pertama dia beraksi di Litar Antarabangsa  Zhuhai.
"Selain itu, saya juga yakin catatan yang dilakukannya juga tidak begitu berbeza dengan pelumba terpantas di mana saya jangkakan bezanya mungkin hanya antara  satu atau satu setengah saat sahaja."
"Kami telah menjalani dua sesi latihan iaitu pada Jun lepas di Litar Johor dan juga di Litar Sepang, Ogos lepas. Dari sesi latihan pertama ke sesi latihan  kedua, saya melihat Zaqhwan menunjukkkan peningkatan yang positif dan catatan masa yang dilakukannya di Sepang amat memberangsangkan.
"Dengan itu, saya  berharap dia akan sentiasa mempamerkan peningkatan," tambah Yuzy yang tidak meletakkan sebarang sasaran buat Zaqhwan pada perlumbaan di Zhuhai.

No comments:

Post a Comment