jokisenja header

jokisenja header


Sunday, April 24, 2011

Zaqhwan, Amirul sertai pusingan penuh ARRC

BUAT pertama kalinya Mohd Zaqhwan Zaidi dan Mohd Amirul Musa berpeluang menyertai musim penuh (enam pusingan) pada Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) kategori Underbone 115cc yang membuka tirainya di Litar Antarabangsa Sepang minggu depan. 

Walaupun memiliki kelebihan beraksi di litar sendiri namun kedua pelumba yang mewakili Pachie Yuzy Honda Racing tetap berhadapan ujian getir terutama pencabar dari Indonesia yang agresif ketika berlumba. 

“Dengan kelebihan yang ada, kami harap dapat menghadapi segala cabaran dan menggunakan pengalaman dipelajari untuk kerjaya perlumbaan pada masa akan datang,” kata Zaqhwan. 

Bagi Amirul, beliau mahu peluang diberi digunakan sebaiknya untuk menimba pengetahuan dan pengalaman sebanyak mungkin. 

“Kami perlu memahami keadaan litar, bagaimana mengambil selekoh lebar, menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan memahami jentera dengan lebih baik pada perlumbaan musim ini,” katanya. 

Sementara itu, pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini berkata objektif utama mereka bukan mengejar kejuaraan sebaliknya membentuk Zaqhwan dan Amirul menjadi pelumba lebih matang dan profesional. 

“Pada perlumbaan peringkat Asia seperti ini stamina, kematangan dan kemahiran membuat analisis memainkan peranan penting. Selain itu mereka perlu fokus, bekerja keras dan tidak bergantung sepenuhnya terhadap keupayaan jentera,” katanya.

No comments:

Post a Comment