jokisenja header

jokisenja header

Sunday, April 10, 2011

Harapan tinggi FortyOne Racing




PENGURUS Suzuki FortyOne Racing, Nor Azlan Amran menaruh harapan tinggi terhadap Mohd Khairul Adli Azhar untuk menduduki podium pada Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 16 dan 17 April.

Adli, 17 yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat di Kangar baru-baru ini boleh dianggap antara pelumba paling berpengalaman dalam kategori Wira.

Dia mula bertanding ketika berusia 13 tahun dengan mewakili pasukan Idemitsu Honda Racing dan mengakhiri musim pertama di tempat ke-14.
Tahun berikutnya, Adli mewakili pasukan Modenas Yuzy Pachi dan menduduki tangga ke-10 keseluruhan.

Adli kemudian berhijrah ke kategori Novis (CP115) dengan mewakili pasukan Naza Sukimi UTM pada 2009.

Nasib tidak menyebelahi pelumba berasal dari Kuala Lumpur ini apabila hanya berupaya mengutip mata di satu daripada sepuluh pusingan untuk menduduki tangga ke-22. Musim lalu, Adli kembali ke kategori Wira dan menduduki tempat kesembilan keseluruhan.
Keputusan terbaik Adli adalah tempat keempat dan dia belum berjaya menjejak kaki di podium.

Namun, berbekal pengalaman, Azlan percaya Adli bakal memberi cabaran sengit pada musim ini.
“Pengalaman memberi kelebihan buatnya berbanding muka baru di Wira.

“Walaupun, ini tahun pertama menggunakan jentera Suzuki tapi kami buktikan mampu bersaing dengan jentera lain,” kata Azlan.

“Keputusan di Kangar bukti kemampuan kami. Adli berjaya menduduki tempat keempat walaupun bermula di petak kelapan.

“Jika tidak melakukan kesilapan, saya yakin dia boleh menaiki podium. Saya harap dia melakukannya di Batu Kawan hujung minggu ini.” Azlan turut berharap tuah menyebelahi Adli.

“Saya yakini kebolehannya dan berharap dia tidak berputus asa dan menggunakan peluang untuk mencipta keputusan memberangsangkan.

“Ini tahun terakhir dia layak berlumba di kategori Wira yang terbuka kepada pelumba Bawah 17 tahun dan saya harap dia tidak melepaskan peluang ini untuk melakar keputusan terbaik.

“Dia harus menumpu sepenuh perhatian terhadap setiap perlumbaan dan waspada terhadap pencabarnya yang juga tidak kurang hebat seperti Mohd Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang), Mohd Amin Mohd Azahar and Mohd Zulsyafiz Rosli dari MOS Malaysia Racing.”

No comments:

Post a Comment