jokisenja header

jokisenja header


Monday, April 4, 2011

HAFIZH SEDIA HADAPI CABARAN LEBIH BESAR


Pada masa ini, nama Hafizh Syahrin Abdullah sudah tentu begitu dikenali ramai. Jika anda tidak mengetahuinya, beginilah kisahnya...

Mula diperkenalkan dengan motosikal pada usia yang muda, bapanya, Abdullah mula membawa Hafizh menceburi pocket bike ketika usianya 9 tahun. Tidak lama selepas itu, setelah semusim melibatkan diri dengan pocket bike, bakatnya berjaya dikesan oleh pengurus pasukan Raceline, Barry Leong ketika melihat aksinya di salah satu litar pocket bike.

Yakin dengan bakat yang ada pada anak jati Selangor itu, Barry memperkenalkannya dengan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS pada tahun 2007. Walaupun tidak diletakkan sebarang harapan tinggi pada tahun pertamanya, Hafizh membuktikan kemampuannya apabila menamatkan saingan Piala Yamaha GiVi di tempat kedua keseluruhan walaupun hanya berusia 13 tahun pada ketika itu.

Menjadi pendatang baru pada usia yang begitu muda, dia memerlukan lebih banyak pengalaman dan salah satu cara untuk mengembangkan lagi bakatnya adalah mendedahkannya untuk bersaing dengan pelumba-pelumba yang lebih berpengalaman. Pada tahun berikutnya, Hafizh tidak hanya bertanding dalam kategori satu-pengeluar,malah turut menyertai kategori terbuka iaitu Kategori Wira epg dan Novis.

Dia menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam keseluruhan saingan Piala Yamaha GiVi manakala keputusan paling memberangsangkan yang dicatatnya di kategori terbuka adalah di tempat kedua pada pusingan terakhir di Novis.

Pada tahun yang sama, Hafizh melakukan aksi sulung di Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) dalam kategori Underbone 115cc. Bersaing dengan pelumba-pelumba terbaik di Asia yang jauh lebih berpengalaman, Hafizh berjaya menamatkan musim pertamanya di kedudukan ke-20.

Memasuki saingan 2009 orang ramai mula memberi perhatian terhadap Hafizh berikutan kejayaannya muncul juara keseluruhan kategori Novis dengan berbaki dua pusingan. Dia mendominasi kategori Novis apabila menamatkan lapan daripada 10 perlumbaan dengan kedudukan podium yanga mana 7 daripadanya sebagai juara.
 
Aksi konsistennya sudah cukup untuk meyakinkan Barry bahawa pelumba ini sudah bersedia berhadapan pelumba lebih berpengalaman. Hafizh melakukan penampilan pertamanya dalam kategori CP130 (sebelum ini dikenali sebagai kategori Expert) pada baki dua pusingan terakhir musim 2009. Keputusannya begitu menakjubkan- kedudukan podium pada percubaan pertamanya dan muncul juara pada percubaan kedua. Hafizh tidak hanya menyinar di kejuaraan tempatan malah turut berada di tempat ketiga keseluruhan ARRC kategori Underbone 115cc pada tahun yang sama.

Pada tahun berikutnya, Hafizh membuat penampilan penuh dalam kategori CP130. Pada awalnya ramai yang beranggapan Hafizh akan ditenggelami pelumba-pelumba senior namun membuktikan jangkaan itu tidak tepat apabila menempatkan dirinya di atas podium pada pusingan pembukaan. Selepas itu Hafizh terus beraksi cemerlang apabila memahat namanya sebagai pelumba termuda mencipta kemenangan hatrik CP130 pada usia 16 tahun dan menjadi pelumba termuda yang meraih gelaran juara keseluruhan. Tahun 2010 juga pelumba ini membuat penampilan pertama saingan SuperSports 600cc.

Dengan segala pencapaian yang diraihnya, jelas Hafizh merupakan antara pelumba terbaik jentera dua roda dalam negara. Dalam tempoh hanya empat tahun, Hafizh menunjukkan begitu banyak peningkatan dan telah memenangi dua kejuaraan- Juara Novis dan CP130.
 
Namun, tahun ini tiada lagi kelibat Hafizh bagi mempertahankan gelarannya. Pelumba yang akan berusia 17 tahun pada Mei ini mengambil keputusan memberi tumpuan kepada perlumbaan ARRC PETRONAS dan Malaysian Super Series (MSS) dalam kategori SuperSports 600cc.

Keputusannya bakal menyaksikan kehilangan besar buat memandangkan sudah tentu sesuatu yang menarik jika pelumba ini beraksi bagi mempertahankan gelarannya. Apa kata mereka di paddock mengenai persaraan Hafizh di pentas Cub Prix.

Pengurus Motul Yamaha YY Pang, Pang Yok You

"Saya sangat yakin dia mempunyai masa depan yang cerah dalam sukan permotoran. Pada usia 17 tahun, dia sudah mampu mengawal jentera SuperSports 600cc, tidak ramai yang mampu melakukannya. Kebanyakan pelumba dalam kelas ini bermula di awal usia 20-an. Meninggalkan Cub Prix dapat mengurangkan tekanan baginya untuk lebih fokus kepada satu kejuaraan sahaja."

Pelumba Harian Metro TEQ SCK Honda Racing, Azlan Shah Kamaruzaman

"Beraksi di bawah pasukan yang sama dengannya musim lalu, apa yang dapat saya katakan Hafizh begitu berpotensi. Tambahan, dia masih muda dan fokus kepada satu kejuaraan sahaja mampu membawanya menjadi pelumba SuperSports 600cc yang hebat."

Pelumba Yamaha Maju Motor Racing, Ahmad Fuad Baharudin

"Beraksi di peringkat lebih tinggi merupakan satu keputusan terbaik buat Hafizh. Bukan hanya kerana dia masih muda, jadi banyak peluang yang ada padanya, tetapi juga kerana untuk mempertahankan gelarannya merupakan sesuatu yang sukar berbanding untuk memenanginya. Pencapaiannya ketika ini begitu baik jadi adalah bagus untuk dirinya memberi tumpuan berlumba dalam kategori yang lebih tinggi. Saya ucapkan selamat maju jaya buat dirinya!"
 
PROFIL HAFIZH

NAMA: HAFIZH SYAHRIN ABDULLAH 
UMUR: 17 TARIKH LAHIR: 5 MEI 1994 
TEMPAT LAHIR: AMPANG, SELANGOR 
TAHUN MEMULAKAN KARIER: 2007 
PENCAPAIAN  
2007 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS (Piala Yamaha GiVi) - ke-2 keseluruhan 
2007 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS (Wira epg) - ke-22 keseluruhan 
2008 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS (Yamaha GiVi Cup) - ke-6 keseluruhan 
2008 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS (Wira epg) - ke-33 keseluruhan
2008 Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (Underbone 115cc) - ke-20 keseluruhan 
2008 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS (Novis) - ke-17 keseluruhan
2009 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS (Novis) - Juara 
2009 Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (Underbone 115cc) - ke-3 keseluruhan 
2010 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS CP130 - Juara
2010 Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (SuperSports 600cc) - ke-12 keseluruhan  

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd



1 comment:

  1. Teruskan usaha memajukan sukan di Malaysia, gua follow dr jauh jerr....

    ReplyDelete