jokisenja header

jokisenja header


Sunday, April 17, 2011

FAZLI SHAM PENUH GAYA DI BATU KAWAN




Pelumba veteran, Ahmad Fazli Sham kembali mempamerkan kehebatannya apabila muncul juara Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Pelumba berusia 29 tahun yang beralih arah dari Yamaha Maju Motor Racing ke Pennzoil Fastrac Racing bermula dengan begitu pantas sekaligus mendahului, Mohd Zamri Baba (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) yang bermula dari pole.

Walaupun pada satu ketika Zamri berjaya memotongnya, cukup jelas jentera Fazli jauh lebih pantas, Dengan mudah Fazli kembali berada di hadapan dan mula meninggalkan pencabarnya itu. Sejurus itu, Mohd Affendi Rosli (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) juga mula mencabar Zamri manakala Fazli selesa meninggalkan pencabar-pencabarnya.

Nasib Zamri bertambah malang apabila gagal mengawal jentera Yamahanya dan terjatuh pada pusingan 6. Walaupun dia meneruskan perlumbaan, Zamri sekadar beraksi sehingga pusingan yang ke-11 sahaja. 

Fazli menamatkan perlumbaan 15 lap tersebut dengan catatan masa keseluruhan 14:03.519s- 8.767s di hadapan Affendi. Namun begitu, Affendi terpaksa berpuas hati di tangga kelapan setelah dikenakan penalti 30 saat akibat kesalahan jump-start di awal perlumbaan.

Keputusan itu sekaligus meletakkan Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) berada di kedudukan kedua manakala rakan sepasukannya, Ahmad Fuad Baharudin di tempat yang ketiga. Kedua-dua pelumba ini menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 14:12.286s dan 14:13.400s masing-masing.

Berpuas hati dengan kejayaan pertama musim ini, Fazli yang memenangi kategori Expert pada tahun 2007 dan 2008 berkata, "Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan dan penaja yang banyak membantu kepada kemenangan saya hari ini. Tanpa sokongan mereka, sudah tentu sukar untuk mencapai kejayaan ini."

Tambah Fazli lagi, "Perlumbaan hari ini sangat mencabar memandangkan Zamri sentiasa mengekori saya dengan rapat namun keadaan jentera yang begitu memuaskan pada hari ini banyak memberikan kelebihan. Namun, saya terus mencuba sedaya upaya sehinggalah menyedari kedudukan saya jauh di hadapan pelumba lain, barulah saya sekadar mengekalkan momentum ketika itu sehingga melintasi garisan penamat.

"Tidak dapat saya gambarkan betapa gembiranya saya apatah lagi pasukan kami masih baru namun sudah berjaya mencatat kemenangan seperti ini. Saya harap kami dapat mengekalkan rentak sebegini di pusingan-pusingan akan datang.

Selain Affendi, rakan sepasukannya, Azlan Shah Kamaruzaman turut dikenakan penalti atas kesalahan yang sama. Sementara itu, Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) menarik diri daripada perlumbaan disebabkan mengalami kecederaan pada kakinya.

Kemenangan ini membolehkan Fazli mendahului kedudukan keseluruhan CP130 dengan 33 mata manakala Muhaimin kedua, 31 mata dan Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) ketiga dengan 26 mata.

Pasukan Maju Motor Yamaha Racing yang diketuai oleh Yong Yin Hoe mendahului kedudukan keseluruhan berpasukan dengan mengumpul 47 mata diikuti Pachie Yuzy Honda Racing dengan 46 mata dan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM ketiga, 45 mata. 


Sementara itu, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri memberikan kelebihan buat Zaidy Mohd Zaifaizal (Motul Yamaha YY Pang Racing), untuk muncul juara CP115 menewaskan Ahmad Abdul Kadir (APIDO Yamaha Boon Kui Racing) dan Mohd Hafieenaz Mohd Ali (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM).

Zaidy mendahului perlumbaan dari lap pertama dan menamatkan perlumbaan 12 lap itu dengan catatan 11:30.736s manakala pelumba yang berasal dari Sarawak, Ahmad di tempat kedua dengan 11:31.300s manakala Hafieenaz, 11:32.125s. 

"Kemenangan hari ini sangat bermakna kerana ia merupakan kejayaan pertama saya di Batu Kawan sepanjang karier perlumbaan saya. Saya sangat berpuas hati kerana tidak menghampakan keluarga dan rakan-rakan yang datang untuk memberikan sokongan. Perlumbaan hari ini sangat sukar. Ahmad sentiasa memberikan tekanan kepada saya, walaupun cuba untuk menjarakkan diri darinya, saya tetap gagal. Saya hanya cuba mengekalkan momentum saya ketika itu sehingga ke garisan penamat," jelas Zaidy yang berasal dari Batu Feringghi, Pulau Pinang.

Selain kemenangan di Batu kawan, kedudukan ketiga di Kangar bulan lepas kini meletakkan Zaidy mendahului carta keseluruhan  CP115 dengan 41 mata. Dibezakan dengan enam mata, Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) yang muncul perlumbaan di tempat keenam hari ini berada di kedudukan kedua dengan 35 mata sementara rakan sepasukan Zaidy, Mohd Adli Salihin menghuni tangga ketiga dengan 31 mata.

Pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM yang diwakili Shahril dan Hafieenaz mendahului kedudukan berpasukan keseluruhan dengan 51 mata diikuti Motul Yamaha YY Pang Racing dengan 50 mata dan APIDO Yamaha Boon Kui Racing, yang mengumpul 39 mata di tangga ketiga.


Sementara itu, Juara Wira 2010, Mohd Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing) gagal menggunakan kelebihan petak hadapan untuk menjejakkan kaki di podium setelah mengalami perlanggaran dengan pendahulu ketika itu, Mohd Solehin Sukor (Honda Promax X-Dot Honda Racing) selepas tiga pusingan. Kelebihan ini digunakan sepenuhnya Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) yang berada di kedudukan ketiga ketika itu untuk merealisasikan hasratnya meraih kejuaraan pertamanya.

Namun, kemenangan Zulsyafiz bukanlah mudah memandangkan rakan sepasukan Adib, Nurahmad Fariznazreen sentiasa memberikan cabaran sengit sehingga kedua-dua pelumba mengatasi garisan penamat. Zulsyafiz menamatkan perlumbaan dengan catatan 9:47.318s manakala pencabarnya mencatatkan 9:48.056s. Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan ketiga dengan 9:53.290s.

Gembira dengan kemenangan pertama, Zulsyafiz menjelaskan, "Saya sangat gembira kerana menang perlumbaan hari ini. Pada mulanya saya rasa ia agak mustahil memandangkan Adib dan Solehin begitu pantas. Kemalangan yang menimpa kedua-dua pelumba itu memberikan kelebihan kepada saya untuk berada di hadapan dan terus mengekalkan kedudukan sehingga ke garisan tamat," kata pelumba berusia 16 tahun itu.

Ketika ini Zulsyafiz sedang mendahului kedudukan keseluruhan dengan 41 mata diikuti Nurahmad, 40 mata dan Izzat di kedudukan ketiga dengan 26 mata.


Dalam Cabaran Honda Wave Junior pula, Mohd Rabilfirli Azmin yang gagal menamatkan perlumbaan di Kangar, bulan lepas muncul juara dengan catatan 10:29.251s menewaskan Mohd Zulfakri Rosli di tempat kedua dengan catatan 10:33.068s manakala Mohd Arif Abd Rahman ketiga dengan 10:33.572s.

Bagaimanapun, Mohd Arif mendahului kedudukan keseluruhan dengan 41 mata, satu mata di hadapan Zulfakri yang berada di kedudukan kedua dengan 40 mata manakala Mohd Fitri Sukor ketiga dengan 26 mata.


Saingan kategori Persendirian menyaksikan Wazir Abd Razak mencatat kemenangan kedua berturut-turut musim ini apabila sekali lagi menewaskan naib juara di Kangar, bulan lepas, Mohd Fhahmin Abd Mutalib.

Wazir melintasi garisan penamat dengan catatan 10:08.324s manakala Fhahmin mencatatkan 10:13.090s. Berada di kedudukan ketiga adalah Zulfaqar Mohd Salleh yang mencatatkan 10:20.714s.

Kemenangan berganda ini meletakkan Wazir di hadapan kedudukan keseluruhan setelah mengumpul 50 mata penuh manakala Fhahmin kedua dengan 40 mata. Zulfaqar di tangga ketiga dengan 16 mata. 

Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 akan berlangsung di Kuala Terengganu pada 13 dan 14 Mei depan.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment