jokisenja header

jokisenja header


Friday, April 15, 2011

TUGAS SUKAR MENANTI PETRONAS SYNTIUM MOTO YAMAHA AHM RACING


Walaupun tampil cemerlang pada perlumbaan pembuka musim 2011 baru-baru ini, PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM tidak menjangkakan kemenangan mudah pada Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 16 dan 17 April ini.
Sebaliknya, pasukan yang diketuai Kenny Chua ini menjangkakan saingan sengit pada hujung minggu ini sekali gus melipat-gandakan usaha bagi mengekalkan prestasi cemerlang di mana pelumba remaja, Mohd Ramdan Mohd Rosli merampas bendera kemenangan pada penampilan sulungnya di dalam kategori CP130. Lebih membanggakan lagi, Mohd Zamri turut berada di atas podium manakala Shahril Izzuwan Mohd Noor cemerlang di dalam kategori CP115 bulan lalu di Kangar, Perlis.
Puas dengan kejayaan tersebut, Kenny memuji dan berterima-kasih kepada ahli pasukannya yang telah berusaha keras. Dalam pada itu dia turut menekankan Kejuaraan masih di peringkat awal dan mereka tidak boleh leka dengan kejayaan tersebut.
"Kami bermula dengan baik apabila Ramdan memenangi perlumbaan CP130 dan Zamri turut menaiki podium bersamanya. Tidak dapat dinafikan ini memang permulaan yang bagus namun kami tidak boleh lalai memandangkan ia baru perlumbaan yang pertama dan masih ada sembilan pusingan yang perlu dilalui," katanya.
Kenny menjelaskan sewaktu pusingan pembuka tirai lepas kebanyakan pasukan hanya mempersiapkan jentera dengan pelarasan yang terbaik tanpa mengetahui keupayaan pasukan lain.
"Setiap kali perlumbaan pembuka musim, semua pasukan akan cuba menyediakan pelumba dan jentera sebaik mungkin tanpa gambaran akan kekuatan pasukan lain. Hanya apabila pelumba turun ke litar, baru mereka dapat mengetahui kemampuan pelumba lain dan juga jentera mereka. Selepas itu barulah mereka akan mencari jalan untuk meningkatkan kemampuan jentera supaya lebih kompetitif. Kami jangkakan minggu ini pasukan lawan akan berada lebih bersedia," tambah Kenny.
Ramdan ketika dihubungi turut menjangkakan saingan sukar apatah lagi pelumba muda ini masih di peringkat menyesuaikan diri dengan jentera barunya.
"Berlumba dalam kategori utama ini amat sukar kerana saya masih di dalam proses menyesuaikan diri dengan jentera 130cc yang agak berbeza berbanding jentera 115cc tahun lalu. Namun rakan sepasukan saya, Zamri banyak membantu dengan memberi pelbagai nasihat dan tunjuk ajar. Saya mensasarkan untuk muncul juara minggu ini.Walaupun begitu saya akui ia bukan sesuatu yang mudah terutamanya dengan kehadiran pelumba-pelumba yang begitu berpengalaman. Jika gagal, sekurang-kurangnya saya berharap dapat sama-sama berada di atas podium," kata pelumba yang berasal dari Klang ini.
Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment