jokisenja header

jokisenja header


Tuesday, April 5, 2011

Jerez bukti keupayaan Fahmi



Penunggang negara Muhammad Zulfahmi Khairuddin yang mewakili pasukan AirAsia-SIC-Ajo mengambil selekoh semasa perlumbaan GP Moto Dunia kategori 125cc di Litar Jerez Sepanyol pada 3 April 2011.

KUALA LUMPUR- Keupayaan Md Zulfahmi Khairuddin terbukti semasa perlumbaan pusingan kedua GP  Motor Dunia Sepanyol selepas berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10 hari ini untuk mengutip enam mata pertama peribadi.
Meskipun sekadar bermula di petak 18, penunggang kelahiran Banting tersebut tidak menjadikannya  alasan untuk patah semangat tetapi sebaliknya mempamerkan kepantasan dan semangat tinggi.
Sementara itu, AirAsia Group CEO Datuk Sri Dr. Tony Fernandes turut meluahkan rasa gembiranya di atas  kejayaan penunggang negara Zulfahmi serta mengucapkan tahniah di dalam laman Twitternya.
"Tahniah Fahmi. Ia bukti program pembangunan telah membuahkan hasil positif di dalam arena sukan  permotoran negara," kata Tony Fernandes di dalam laman Twitternya.
Fahmi yang mencatat masa keseluruhan 45 minit 51.045 saat mempamerkan aksi bertenaga sejak awal  perlumbaan dengan apabila berjaya melonjak ke dalam kelompok tengah pada pusingan ke-12.
Tekanan hebat yang diberikan oleh para penunggang lain menyaksikan Fahmi kembali ketinggalan pada  pusingan 13 dan 15.
Tersentak dengan situasi tersebut Fahmi kembali memberi aksi bertenaga dan menekan jenteranya ke  tahap maksimum sehingga berjaya berada di kedudukan ke-11 pada dua pusingan terakhir.
Fahmi terus memberi tekanan kepada kelompok di hadapan dan usahanya itu berbaloi apabila Hector  Faubel yang berada di kelompok hadapan sekali mengalami kemalangan kecil sekaligus memberi laluan  buat penunggang berusia 20 tahun negara tersebut menamatkan perlumbaan di tempat ke-10.
Ia merupakan keputusan terbaik diperoleh penunggang tempatan Zulfahmi sejak menyertai GP Motor Dunia  pertama kali pada tahun lalu.
"Kami sangat berbangga denga persembahan Fahmi hari ini di Jerez. Ia suatu diluar jangkaan dan ia  akan menjadi sejarah penting di dalam sukan permotoran negara," kata Dato' Razlan, Sepang  International Circuit CEO.
Kejayaan ini menyaksikan Zulfahmi mengutip enam mata dan berada di kedudukan ke-15 senarai penunggang  keseluruhan untuk kategori 125cc.
Fahmi sebelum ini gagal mempamerkan aksi menyakinkan di Qatar selepas sekadar menamatkan perlumbaan  di kedudukan ke-19 dan mengakui ia suatu keputusan yang mengecewakan.

No comments:

Post a Comment