jokisenja header

jokisenja header


Friday, April 29, 2011

PEMBENTUKAN SEBUAH PASUKAN


Pasukan-pasukan yang terlibat dengan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS memainkan peranan yang besar dalam perkembangan sukan pemotoran dalam negara.  Mereka memainkan peranan penting dalam melahirkan ramai pelumba-pelumba berbakat selama ini. Pusingan pembukaan saingan tahun 2011 menyaksikan sebanyak 30 pasukan menghangatkan saingan di Perlis, bulan lepas

Bergantung kepada peruntukan yang ada, selalunya sesebuah pasukan melibatkan banyak komponen dengan peranan berbeza. Mereka terdiri daripada penaja-penaja, pengurus pasukaan, ketua mekanik, mekanik, pelumba dan juga kru pit.

Sebagai contoh, pengurus pasukan selalunya akan bertindak mengawasi operasi keseluruhan pasukan dari segi lojjistik sehinggalah ke bahagian teknikal manakala ketua mekanik, dan kru akan mengawasi aspek teknikal jentera mereka.

Sementara itu, pelumba-pelumba pula akan mempamerkan aksi terbaik mereka manakala kru pit akan berada di mana sahaja untuk membantu dan melakukan tugasan berkaitan. Kesemua mereka perlu bekerjasama dengan baik untuk mencapai kejayaan yang diharapkan.

Semakin besar peruntukan yang ada, semakin besarlah operasi sesebuah pasukan namun tidak semua pasukan yang berada di paddock mempunyai sumber kewangan kukuh dengan menerima penajaan yang banyak. Jadi untuk menghasilkan kejayaan yang serupa, pasukan-pasukan ini akan bertindak dengan menggunakan segala kemampuan dan kepakaran yang mereka ada.

Namun begitu, satu persamaan yang ada pada mereka semua- keghairahan terhadap sukan pemotoran. Merekalah selalunya yang berada dalam sesebuah pasukan di setiap kejuaraan.

Penaja-penaja

Pihak penaja memainkan peranan penting selaku sumber kewangan sesebuah operasi pasukan. Walaupun begitu, pihak penaja tidak boleh membuat keputusan di paddock ataupun memberi arahan kepada mekanik-mekanik terutama dalam menyelaraskan jentera bagi menghadapai sesuatu perlumbaan. Tugas penaja selalunya terhad kepada urusan pembiayaiaan ataupun pemasaran sesebuah pasukan.

Pengurus pasukan

Orang yang paling penting di dalam pasukan- sentiasa sibuk sepanjang hari. Bertindak mengaturkan segala aspek operasi sesebuah pasukan. Selalunya mereka terdiri daripada seseorang yang berpengalaman luas di bidang pemotoran. Kebanyakannya merupakan bekas pelumba, ataupun telah lama terlibat dalam perlumbaan sebelum berpindah ke bahagian pengurusan.

Pengurus pasukan bertanggungjawab menguruskan segala hal-ehwal sesebuah pasukan. Beliau bertindak sebagai wakil pasukan, mengawasi semua perkara termasuk tempahan peralatan ataupun alat ganti, mencari kru, dan juga menguruskan sesi ujian pasukan. Selain itu, pengurus pasukan juga bertindak sebagai pengurus kewangan dan pemasaran, mekanik, pengatur strategi, pemberi motivasi, pentadbir, pencari bakat dan sebagai jurulatih kepada pelumba-pelumba.

Ketua mekanik

Ketua mekanik merupakan tulang belakang kepada kekuatan sesebuah pasukan. Jika jentera yang digunakan oleh pelumba-pelumba tidak cukup laju, ketua mekanik akan mencari jalan penyelesaiannya.

Dengan kepakaran dan pengalaman yang sedia ada, ketua mekanik akan memberi arahan kepada mekanik-mekanik untuk melakukan pengubah-suaian yang patut. Ketua mekanik akan mengenalpasti pelarasan yang diperlukan, mengubah suspensi mengikut keadaan litar, mengenal-pasti peralatan yang perlu digunakan dan lain-lain perkara berkaitan hal-hal teknikal jentera.

Mekanik

Tenaga utama kepada ketua mekanik. Mekanik bertanggungjawab untuk melakukan kerja-kerja pengubah-suaian mengikut apa yang dikehendaki oleh ketua mereka. Tidak seperti MotoGP di mana sekumpulan mekanik dibahagikan mengikut tugasan dengan lebih terperinci seperti penyelaras enjin sahaja ataupun pakar penggunaan tayar- di dalam Cub Prix, selalunya mereka boleh melakukan apa sahaja jenis pelarasan.

Pelumba-pelumba

Bukan sekadar berlumba, pelumba-pelumba perlu memastikan diri mereka sentiasa cergas sepenuhnya selain daripada terus meningkatkan kemampuan mereka. Pelumba juga perlu memberikan maklumat tentang kemampuan jentera ketika berada di litar pada waktu perlumbaan ataupun sesi ujian. Mereka perlu menentukan sama ada jentera bertindak balas dengan baik ataupun ia perlu lebih pantas khususnya ketika di selekoh ataupun jalan lurus. Hanya selepas itu ketua mekanik akan merancang dan melakukan perubahan yang sesuai.

Selain itu, pelumba-pelumba juga membawa imej pasukan. Mereka perlu menunjukkan imej yang baik tidak kira di dalam ataupun di luar litar perlumbaan.

Kru pit

Seperti mekanik, kru pit bertindak sebagai kaki-tangan tambahan. Mereka akan menjalankan pelbagai tugasan termasuk memaparkan lap-board sewaktu perlumbaan, mendapatkan keputusan terkini dan lain-lain seperti menyediakan makanan buat seluruh pasukan. Mereka juga perlu memastikan pelumba-pelumba selamat tiba di rumah selepas perlumbaan.


Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment