jokisenja header

jokisenja header

Wednesday, April 27, 2011

Ngauman Primax 95 Xtra



APAKAH ciri-ciri bahan bakar yang diinginkan oleh setiap pengguna kenderaan di negara ini?
Pastinya, rata-ratanya akan memberikan jawapan sama iaitu bahan bakar yang mampu memberikan lebih kuasa, membersihkan enjin dan pada masa yang sama mampu menambah jarak perbatuan kenderaan mereka.
Lantaran itu syarikat petroleum tunggal negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tidak pernah berhenti membangunkan variasi bahan bakar yang menepati piawaian antarabangsa.
Kewujudan pusat penyelidikan Petronas pada tahun 1988 membuahkan kejayaan dalam penghasilan bahan bakar berprestasi tinggi. Bermula dengan Primas pada tahun 1990, syarikat itu telah melahirkan beberapa siri petrol seperti PX2, PX3, Primax 95 dan Primax 97.
Penglibatan Petronas dalam siri Formula Satu (F1) bermula pada 2005 telah membawa dimensi baru dalam industri petroleum tempatan.
Hasil perkongsian pintar yang dilakukan, rakyat negara ini kini berpeluang merasai sendiri formula Primax 95 Xtra yang diinspirasikan daripada teknologi kejuruteraan termaju itu di atas jalan raya.
Bagi membuktikan keupayaannya, Petronas Dagangan Berhad (PDB) baru-baru ini menganjurkan acara pengembaraan dan konvoi bersama media dikenali sebagai Experience to Believe.
Konvoi yang disertai kira-kira 28 kenderaan itu membabitkan perjalanan sejauh lebih 200 kilometer (km) bermula dari Pusat Penyelidikan Petronas, Kajang ke Bukit Tinggi, Pahang.
Terdahulu, peserta-peserta berpeluang mendengar taklimat yang disampaikan oleh Penyelidik Kanan, Bahagian Penyelidikan Produk, Chan Ming Yau. Peserta turut dibawa melawat melihat perkembangan penyelidikan dan teknologi terkini yang dijalankan di pusat tersebut.
Berbekalkan satu tangki penuh minyak, peserta konvoi kemudiannya dilepaskan oleh Pengurus Besar Kanan Bahagian Perniagaan Runcit PDB, Ir. Izuddin Husaini Mohd. Yusoff.
Menurut Izuddin, produk itu merupakan hasil kajian dan penyelidikan dua tahun Petronas berdasarkan penglibatan syarikat itu dalam perlumbaan F1 selama ini.
“Ia dibangunkan oleh jurutera-jurutera tempatan berorientasikan teknologi kejuruteraan terkini F1.
“Malah, ia telah beberapa kali diuji sebelum ini, misalnya ujian yang dilakukan oleh firma bebas dari United Kingdom, Britain’s Millbrook and Tickford,” ujarnya.
Tambah Izuddin, petrol terkini itu diformulasi untuk memberikan lebih kuasa kepada kenderaan, membersihkan enjin dan pada masa yang sama penjimatan kepada pengguna.
“Setiap pengeluar mempunyai resipi tersendiri untuk memastikan petrol mereka konsisten mengikut spesifikasi enjin yang direka untuknya, pastinya Primax 95 Xtra tidak terkecuali.
“Apa yang lebih penting, ia boleh digunakan untuk semua jenis kenderaan yang mempunyai teknologi suntikan terus serta sesuai untuk pemanduan di bandar ataupun perjalanan jauh,” ujarnya.
Primax 95 Xtra dirumus dengan bahan tambahan termaju untuk memberi prestasi yang lebih baik. Bahan pengurang geseran berfungsi melindungi komponen enjin, sementara bahan peningkatan pembakaran bertindak meningkatkan prestasi enjin secara keseluruhan.
Tidak hairanlah, laluan berbukit di sepanjang Lebuh Raya Karak dilalui dengan penuh bergaya biarpun kenderaan yang dinaiki sarat dengan empat penumpang dewasa.
Kenderaan masih bergerak lancar, manakala geseran pada bahagian enjin kurang dirasakan sekali gus memberikan pemanduan yang mantap dan selesa.
Telah dilancarkan pada 10 April lalu, Primax 95 Xtra kini dijual pada harga RM1.90 sen seliter di semua 955 stesen Petronas di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment