jokisenja header

jokisenja header

Saturday, April 9, 2011

REKOD-REKOD SEPANJANG 2010

Tidak kira di pentas antarabangsa ataupun tempatan, tahun 2010 merupakan tahun yang  mendatangkan banyak hasil dan kejayaan buat pelumba-pelumba Cub Prix. Dalam arena Cub Prix sendiri tahun lalu, pelbagai rekod dan kejayaan dicipta dan apa yang membanggakan komuniti Cub Prix adalah sebahagian besar pemegang rekod ini berada pada usia yang sangat muda.


Di sebalik mencatat kejayaan di peringkat nasional, pelumba-pelumba Cub Prix turut beraksi cemerlang di peringkat antarabangsa. Mohd Zamri Baba membuatkan rakyat Malaysia bangga apabila mencatat keputusan memberangsangkan pada aksi pertamanya di Moto2 manakala pelumba berusia 14 tahun, Amirul Hafiq Mohd Azmi mendapat tiket untuk melakukan penampilan penuh di pentas Piala Red Bull MotoGP Rookies.

Mohd Ramdan Mohd Rosli dan Tengku Amirul Haffiruddin pula membawa bendera Malaysia di pentas podium Perlumbaan Piala Yamaha Asean.  Sementara itu, Muhd Zulfahmi Khairuddin mengutip empat mata secara keseluruhan pada musim pertamanya di pentas 125cc Kejuaraan Grand Prix Dunia.

1.    Juara CP130 termuda
Walaupun baru berusia 16 tahun, Hafizh Syahrin Abdullah mencatatkan namanya sebagai juara termuda CP130. Pelumba itu memadam rekod selama lima tahun milik Norizman Ismail yang menjuarai kategori Expert pada tahun 2005 ketika berusia 20 tahun 8 bulan.

2.    Kemenangan pertama Honda (CP130)

Norizman Ismail membuatkan pasukannya, Harian Metro SCK Honda Racing dan penaja-penajanya berbangga apabila muncul juara di Batu Kawan. Kemenangan tesebut merupakan yang pertama buat Honda dan tidak berhenti setakat itu apabila mencatat kemenangan pusingan berikutnya di Sepang. Secara keseluruhannya, Norizman berjaya menjejakkan kaki di podium sebanyak enam kali dengan tiga kali muncul juara.

3.    Kemenangan terbanyak

Ahmad Fazli Sham terus mengukuhkan catatan peribadinya sebagai pelumba yang paling banyak mencipta kemenangan dalam kategori Expert atau kini dikenali sebagai CP130. Secara keseluruhannya, pelumba itu telah merekodkan 17 kemenangan. (2006 - 4 kemenangan, 2007 - 6, 2008 - 3, 2009 - 2 dan 2010 - 2)

4.    Kejuaraan berturut-turut (Back to Back Title)

Hafizh merupakan satu-satunya pelumba yang berjaya menjuarai kategori CP130 dan Novis. Di samping itu, kejayaannya dilakar secara berturut-turut di mana beliau muncul juara Novis pada tahun 2009 dan memenangi kategori CP130 pada tahun berikutnya.

5.    Pemenang hatrik termuda 

Mencatat kemenangan hatrik dalam kategori CP130 bukanlah sesuatu yang mudah namun bagi Hafizh, tugas itu mampu dilakukannya. Di sebalik kekurangan pengalaman dan musim pertamanya dalam kelas CP130, pelumba berusia 16 tahun ini menonjolkan bakatnya apabila memenangi tiga kejuaraan berturut-turut di Teluk Intan (Pusingan 6), Melaka (Pusingan 7) dan Pekan (Pusingan 8).

6.    Juara CP115 termuda



Muda dan berbakat, Mohd Ramdan Mohd Rosli merupakan seorang bintang yang sedang digilap. Hanya berusia 14 tahun, pelumba ini mampu mengatasi pelumba-pelumba lebih berpengalaman dalam kategori CP115 sekali gus muncul juara keseluruhan CP115. Pada tahun 2009, Hafizh merupakan Juara Termuda Novis (15 tahun), namun kini rekod itu berpindah milik kepada Ramdan.

7.    Kemenangan lima kali berturut-turut (Wira)

Mohd Syahnas Shahidan dan Mohd Iskandar Raduan masing-masing lima kali melintasi garisan penamat sebagai pemenang, namun tidak ada di antara mereka yang memenangi lima pusingan berturut-turut. Tahun lalu, Mohd Adib Rosley bukan sekadar memegang rekod sebagai pemenang terbanyak (6 kemenangan) namun dia muncul satu-satunya pelumba yang memenangi lima perlumbaan secara berturut-turut. ((Batu Kawan - Pusingan 3, Sepang - Pusingan 4, Kuala Terengganu - Pusingan 5, Teluk Intan - Pusingan 6, Melaka - Pusingan 7).

8.    Pemenang wanita pertama

Farah Melina Ismadi bukanlah pelumba wanita pertama yang menyertai Cub Prix setelah Che Siti Noorkhatyrinee melakukannya pada tahun 2003. Jejak Siti selepas itu menjadi ikutan Nasha Edziera Mohd Bahauddin, Noor Edrin Ezurin Noor Asmara, Mazera Izaty Mohammad, Nur Amirah Basir dan Farah. Namun Farah mencatat namanya sebagai pelumba wanita pertama yang memenangi perlumbaan.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment