jokisenja header

jokisenja header

Monday, December 13, 2010

Tiga tentukan juara ARRC 2010




PERSAINGAN hebat merebut mahkota SuperSports 600cc di antara tiga pelumba- Decha Kraisat, Chalermpol Polamai dan Azlan Shah Kamaruzaman dijangka berlaku pada pusingan terakhir siri Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) di Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada 16 hingga 18 Disember ini. 

Dibezakan jurang sebanyak 35 mata, Decha, pelumba pasukan Petronas Yamaha Thailand mendahului kedudukan keseluruhan SuperSports 600cc dengan 158 mata diikuti rakan sepasukan dan juara bertahan, Chalermpol di tempat kedua dengan 126 mata. Di tempat ketiga, Azlan Shah dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Malaysia dengan 123 mata. 

Pengarah Promosi Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd, promoter kejuaraan, Ron Hogg berkata, perlumbaan akan datang dijangka cukup menarik bukan saja kerana ia akan berlangsung di atas gelanggang asing tetapi ia turut diadakan pada waktu malam. 

“Perlumbaan minggu ini pasti mendebarkan kerana Litar Antarabanga Losail gelanggang neutral di mana tiada seorang daripada tiga pelumba perebutan mahkota SuperSports 600cc mempunyai pengalaman beraksi di Qatar. 

“Di samping itu, saingan akan berlangsung ketika waktu malam akan menyajikan cabaran yang berbeza buat para pelumba dan juga seluruh kontinjen. Lebih menarik lagi, beberapa pelumba berprofil tinggi akan menyertai perlumbaan SuperSports 600cc di Qatar minggu ini,” katanya. 

Menurutnya, oleh itu, mereka yang berada di dalam perebutan gelaran juara perlu lebih berhati-hati. 

“Di kalangan pelumba SuperSports 600cc, hanya Doni Tata Pridita sahaja yang pernah merasai beraksi di litar bertaraf dunia sepanjang 5.380 meter itu. Doni, pelumba solo pasukan Yamaha Iidoprom itu pernah beraksi di Litar Losail ketika bersaing di dalam MotoGP pada musim 2008 dan pada tahun 2009 di dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK),” katanya.

No comments:

Post a Comment