jokisenja header

jokisenja header


Sunday, December 19, 2010

HONDA ICON DI LANDASAN TEPAT

Musim ini merupakan tahun keempat Honda menganjurkan perlumbaan satu pengeluar dan apa yang pasti, ramai bakat baru dikenal pasti menerusi perlumbaan ini. Bagi mengupas berkenaan Cabaran Honda icon berikut temu bual bersama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda Sdn Bhd, Shoichi Harada.

1.Apa objektif Cabaran Honda icon khususnya dari segi perniagaan dan sukan pemotoran untuk Honda?

Dari segi perniagaan, tujuan utama kami adalah untuk mengembangkan jenama ini lebih meluas dan ini termasuk negara-negara Asia yang lain. Saya boleh katakan pasaran motosikal di Malaysia adalah besar dan banyak peluang yang boleh kami terokai.

Daripada pandangan pengeluar pula, ia harus bergerak seiringan dengan pembabitan dalam sukan pemotoran. Kami melihat kedua-duanya sebagai faktor penting untuk memperluaskan pasaran di Malaysia. Peluang di sini sangat luas dan kami perlu mempergunakan sepenuhnya lebih-lebih lagi dengan adanya Litar Antarabangsa Sepang yang dianggap sebagai destinasi sukan pemotoran yang turut menganjurkan Formula 1 dan MotoGP. Selain itu, Cub Prix juga sangat popular di Malaysia dan ia merupakan landasan terbaik bagi kami untuk mendekatkan diri dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Dari segi sukan pemotoran, Cabaran Honda icon menawarkan peluang kepada pelumba  untuk berlumba secara profesional pada kadar yang sangat minimal. Kami menyediakan jentera dan tanggung segala kos pengangkutan ke semua pusingan. Pelumba pula hanya perlu membayar RM50 untuk beraksi tetapi penginapan adalah tanggungan sendiri.

Kami juga mahu memainkan peranan membendung perlumbaan haram, mengurangkan kemalangan, mencari bakat baru serta mengilap kemahiran para pelumba. Pada masa yang sama, kami mahu menyampaikan mesej kepada semua pihak bahawa sukan pemotoran bukan sekadar perlumbaan tetapi juga aktiviti yang menyeronokkan buat setiap golongan masyarakat.
 
2.Setakat ini, sejauh mana objektif ini dicapai?

Boleh dikatakan saya berbangga  dengan apa yang dicapai sekarang. Sebagai contoh, perlumbaan ini telah berjaya mencungkil bakat baru yang kami anggap sebagai batu loncatan untuk mereka merealisasikan citi-cita  menceburkan diri dalam sukan pemotoran. Barisan pelumba seperti Mohd Syawalludin Mohd Zaki, Mohd Solehin Mohd Sukor, Mohd Fitri Ashraf Razali dan Zulsyafiz Rosli memulakan karier mereka dengan beraksi dalam Cabaran Honda icon.

3.Adakah perlumbaan ini akan terus menggunakan Honda icon pada musim depan?

Pada tahun 2007 dan 2008, kami memulakan perlumbaan ini dengan model Honda Wave 125-S dan bermula pada tahun lepas hingga sekarang, kami memperkenalkan model baru, Honda icon yang telah dilancarkan pada 2009. Tahun ini, kami telah membuktikan jentera Honda icon memang mudah untuk dikendalikan dan pelumba wanita, (Farah Melina Ismadi dan Nur Amirah Basir) turut mencipta nama sebagai juara. Besar kemungkinan, tahun depan kami akan menggunakan model Honda yang lain pula.

4.Apa komen anda dengan pelumba wanita lebih-lebih lagi mereka turut muncul sebagai pemenang dalam beberapa perlumbaan?

Saya bangga melihat pelumba wanita berjaya menyekat penguasaan pelumba lelaki. Saya amat berpuas hati dengan pencapaian yang telah dipamerkan oleh Farah dan Nur Amirah. Farah menguasai perlumbaan Pusingan 6 di Teluk Intan dan Amirah pula tampil hebat untuk mendominasi Pusingan 7 di Melaka. Dengan kejayaan mereka muncul juara, saingan akan menjadi lebih menarik dan akan membuka mata semua pihak. Pihak pengedar Honda juga teruja melihat kejayaan pelumba wanita memenangi perlumbaan.

5.Adakah anda berpuas hati dengan prestasi para pelumba dalam Honda icon sekarang?

Sudah pasti saya berpuas hati. Saya juga yakin, selepas mengharungi lapan pusingan, ada di kalangan mereka sudah menunjukkan peningkatan dari segi skil tunggangan. Setakat ini, kami telah melihat tujuh pelumba sudah berjaya menjejak kaki ke podium dan ini akan melonjakkan lagi tahap keyakinan mereka. Semoga mereka teruskan aksi yang cemerlang dan sentiasa memajukan diri.

6.Apa yang anda harapkan selepas semua pelumba ini menamatkan saingan mereka dalam perlumbaan Honda icon?

Pertamanya dan juga paling penting, saya berharap mereka akan mempergunakan sepenuhnya pengalaman berlumba dalam Honda icon sebelum berpindah ke kategori yang lebih tinggi seperti Wira, CP115 mahu pun CP130 pada masa akan datang. Keduanya, saya harap bakat mereka akan mendapat perhatian pasukan-pasukan dan seterusnya  dipilih untuk mewakili pasukan berkenaan. Akhir sekali, saya juga berharap agar minat mereka untuk menceburkan diri dalam sukan ini tidak terhenti setakat beraksi di Honda icon, sebaliknya diteruskan ke peringkat yang lebih tinggi.

No comments:

Post a Comment