jokisenja header

jokisenja header


Friday, December 10, 2010

Ramdan yakin naik podium Piala Yamaha di Melaka


Mohd. Ramdan mengetuai cabaran pelumba negara pada perlumbaan motosikal Piala Yamaha Asean di Melaka pada 11 dan 12 Disember ini.
KUALA LUMPUR - Selepas memenangi kejuaraan kategori keseluruhan CP115 siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2010, Mohd. Ramdan Mohd. Rosli lebih yakin apabila tampil buat kali kedua pada perlumbaan motosikal Piala Yamaha Asean 2010, di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 11 dan 12 Disember ini.
Pelumba berusia 14 tahun mempamerkan persembahan jauh lebih matang dalam setiap perlumbaan dan membuktikan keupayaan sama ada pada saingan peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Di peringkat tempatan, dia memegang rekod pelumba termuda memenangi siri kejuaraan perlumbaan terbuka, sementara dalam penampilan sulung Kejuaraan Motosikal Asia Petronas musim ini, Ramdan menampilkan impak besar, apabila dua kali menaiki podium.
Berikutan kejayaan tersebut, Ramdan memiliki ramuan terbaik untuk mengetuai senarai pelumba Malaysia bagi kategori novis, yang turut disenaraikan bersama Mohd. Adib Rosley, Mohd. Azhar Abdul Jalil, Mohd. Rozaliman Zakaria dan Tengku Amirul Haffiruddin untuk mencapai keputusan positif di Melaka.
Ramdan, yang gagal menamatkan Perlumbaan 1 dan 2 ketika di Indonesia tahun lepas berkata, untuk saingan kali ini, dia sudah bersedia untuk mencipta kejutan dan membantu kem Malaysia.
"Musim lepas merupakan penampilan pertama dan pengalaman sulung bersaing dengan pelumba di rantau ini, seperti dari Indonesia, Thailand dan Filipina.
"Ketika itu saya belum memahami bentuk cabaran dari pelumba luar.
"Namun, selepas pengalaman sepanjang siri Kejuaraan Motosikal Asia Petronas musim ini, kini saya lebih bersedia untuk mencabar ke hebatan pelumba luar," ujar pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha AHM itu.
Mengenai sasarannya pada perlumbaan tersebut, Ramdan berkata: "Saya mahu menamatkan saingan di atas podium dalam kedua-dua perlumbaan. Malah, trek di Stadium Hang Jebat menyaksikan saya menang perlumbaan CP115. Saya harap tuah sekali lagi menyebelahi saya, sekali gus mengatasi pencabar lain.
"Selain itu, saya harap rakan sepasukan lain turut cemerlang dalam misi ini. Adib dan Tengku Amirul juga memiliki rekod baik di trek Melaka, dengan kedua-duanya memenangi saingan dalam kelas Wira dan Cabaran Yamaha 135LC di sini.
"Bukan itu sahaja, kami perlu bertindak dalam satu unit dan bekerjasama antara satu sama lain, untuk mengumpul seberapa banyak mata dalam dua perlumbaan ini," ujar Ramdan.
Perlumbaan Piala Yamaha Asean yang berlangsung di Stadium Hang Jebat bermula 11 pagi, dengan sesi latihan bebas sementara pada Ahad, sesi permulaan bermula seawal jam 9.00 pagi.
Selain menyaksikan aksi hebat dari para pelumba, pengunjung disajikan pelbagai aktiviti sampingan termasuk demontrasi menunggang 'trail', pertunjukan tunggangan ekstrem, pameran poduk Yamaha, tunggan uji produk Yamaha.

No comments:

Post a Comment