jokisenja header

jokisenja header

Wednesday, December 15, 2010

Azlan intai tempat kedua


PELUMBA sandaran Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman, tidak meletakkan harapan tinggi untuk muncul juara siri perlumbaan SuperSports 600cc pada pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia Pet ronas (ARRC) di Litar Antarabangsa Losail, Qatar, hujung minggu ini.
Azlan yang mewakili pasukan Petronas Yamaha Malaysia kini menduduki tangga ketiga dengan 123 mata manakala pelumba Pet ronas Yamaha Thailand, Decha Kraisat pula menguasai kedudukan pendahulu dengan 158 mata diikuti rakan sepasukan, Chalermpol Polamai, 126 mata di tempat kedua.

Meskipun perebutan mahkota masih terbuka, Azlan sedar peluang untuknya muncul juara tipis sekali gus mengalihkan tumpuan pada tempat kedua keseluruhan.
“Saya berpeluang muncul juara tapi ia terlalu tipis. Decha memiliki kelebihan 35 mata dan andai saya menjuarai kedua-dua perlumbaan di Qatar pun, dia hanya memerlukan 15 mata saja untuk mengesahkan kejuaraan. Hakikatnya, dia hanya perlu menaiki podium sama ada pada Perlumbaan 1 atau 2.

“Decha juga konsisten sepanjang musim ini dengan empat kemenangan dan dua kali naib juara. Saya pasti dia akan memberi persembahan bertenaga. Hanya masalah jentera atau kemalangan pada kedua-dua perlumbaan yang mampu menghalang Decha muncul juara,” ujar Azlan.

Bagaimanapun, pelumba berusia 26 tahun itu tetap berjanji memberi cabaran terbaik.                                                               

“Prestasi saya kini berada di tahap terbaik dan berharap menamatkan saingan di atas podium. Chalermpol hanya memiliki kelebihan tiga mata dan saya akan cuba rebut tempat kedua keseluruhan. Lebih hebat jika saya mampu menamatkan saingan di depan Chalermpol yang juga juara musim lalu,” kata Azlan yang menduduki tempat ketiga keseluruhan musim 2008.

Selain Azlan, pengurus pasukan, Kuan Meng Heng turut mengharapkan Mohd Zamri Baba dan Ahmad Fuad Baharudin memberi aksi terbaik pada perlumbaan itu.
“Kami tidak mampu menjangkakan cabaran perlumbaan yang berlangsung pada waktu malam. Saya hanya berharap mereka pantas menyesuaikan diri dan mencipta keputusan membanggakan,” ujar Meng Heng.

No comments:

Post a Comment