jokisenja header

jokisenja header

Saturday, December 11, 2010

PELUMBA MALAYSIA DOMINASI SESI KELAYAKAN DI MELAKA


Pelumba harapan Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah menyalakan harapan besar buat kontinjen negara selepas mencipta masa terpantas sesi kelayakan 1 siri Kejuaraan Piala Yamaha Asean ke-8 yang berlangsung di Kompleks Sukan Stadium Hang Jebat, Melaka hari ini. 
 
Hafizh yang mengetuai senarai pelumba kategori Expert, mencatat masa 52.257 saat mengatasi catatan pelumba berpengalaman dari Indonesia, Florianus Roy (52.282 saat) dan Prawat Yannawut dari Thailand yang mencatat masa 52.507 saat untuk berada tempat ketiga. 

Terdahulu, kontinjen Malaysia kekurangan satu pelumba selepas Md Iskandar Raduan terbabit dalam insiden sekali gus menyaksikan dia tidak mampu meneruskan cabaran. Selain Hafizh, pasukan Malaysia menyandarkan pengalaman pelumba senior Md Adli Salihin (tempat ke-11), Shahril Izzuwan Md Noor (tempat ke-13) dan Ahmad Abdul Kadir yang menduduki tempat ke-14 dari 18 pelumba yang bertanding.

Hafizh ketika menyentuh mengenai persembahan pada sesi kelayakan tidak menyembunyikan perasaan kurang berpuas hati dengan catatan yang dilakukan selain masalah litar licin selepas perlumbaan di hentikan untuk kerja-kerja pembersihan.   

"Saya berdepan masalah pada bahagian brek diperingkat awal. Bagaimanapun, nasib menyebelahi saya apabila perlumbaan dihentikan seketika pada pusingan ke-5 dan dari situ saya dapat memperbetulkan masalah tersebut.

"Begitupun dari segi masa, saya masih kurang berpuas hati kerana ternyata bukan sahaja saya malah pelumba lain juga sukar untuk membuat masa yang lebih baik ekoran terdapat pasir kesan dari pelanggaran dari salah seorang pelumba sebelum itu," ujar Hafizh mengulas mengenai catatannya.

Menyentuh cabaran pelumba lain, Hafizh meramalkan pelumba berpengalaman dari Indonesia, Florianus (Roy) dan Prawat (Yannawut) dari Thailand mampu menyekatnya untuk memburu gelaran Expert di gelanggang sendiri.   

Sementara itu, peluang Malaysia untuk memburu gelaran juara keseluruhan kategori Novis semakin cerah selepas juara Cabaran Yamaha 135LC 2010, Tengku Amirul Haffirudin muncul pelumba terpantas sesi ujian kelayakan pertama hari ini.

Amirul pelumba muda berusia 14 tahun berjaya mencatat masa 57.620 saat pada pusingan ke-18 mengatasi masa yang dilakukan pelumba Indonesia, M. Zaki (57:729 saat) dan pelumba Thailand, Kannasoot Sithisena yang menduduki di tempat ketiga terpantas dengan masa 57.748 saat.

Begitupun, Amirul nyata kurang berpuas hati dengan catatan yang dilakukan berbanding masa yang dicatatkan pada sesi latihan bebas pada sebelah pagi.

"Jentera saya agak kurang kompertitif berbanding di sebelah pagi. Selain itu, saya kini perlu menambah berat motosikal sebanyak 5 kilogram memandangkan berat badan saya agak kurang untuk had kelayakan seorang pelumba.

"Mungkin ada perubahan sedikit mengenai penyelarasan jentera namun saya masih berharap dapat terus mencatatkan masa yang terbaik pada sesi kelayakan kedua di sebelah pagi (esok) seterusnya berada pada kedudukan grid terbaik perlumbaan akhir esok," jelas Amirul.

Selain Tengku Amirul, Malaysia turut menyandarkan harapan kepada juara Wira 2010, Md Adib Rosley yang menduduki tempat keempat terpantas (57:857 saat) dan naib juara Wira musim ini, Mohd Azhar Abd Jalil yang menduduki tempat ke-6 pelumba terpantas sesi kelayakan pertama. Dua lagi pelumba negara, Md Ramdan Md Rosli dan Md Rozaliman Zakaria masing-masing menduduki tempat ke-7 dan ke-8 pelumba terpantas. 

Menyentuh mengenai cabaran pelumba luar, Amirul menyifatkan cabaran dua pelumba Thailand, Kannasoot dan Warawat Suriya dan pelumba Indonesia antara yang mampu meranapkan impian pelumba negara. 

"Kami diberi nasihat oleh pengurus pasukan Kuan Meng Heng mengenai tindak-tanduk pelumba dari dua negara terbabit kerana mereka cukup agresif."

Perlumbaan Piala Yamaha Asean yang berlangsung di Stadium Hang Jebat bermula 11 pagi hari Sabtu ini dengan sesi latihan bebas sementara pada hari Ahad, sesi permulaan bermula seawal jam 9.00 pagi. Selain menyaksikan aksi hebat dari para pelumba yang bertanding, pengunjung turut disajikan pelbagai aktiviti sampingan yang disediakan oleh penganjur sepanjang temasya selama dua hari.

Ini termasuk demontrasi menunggang 'Trail', pertunjukan tunggangan ekstrim, pameran poduk Yamaha, tunggan uji produk Yamaha seperti motosikal elektrik, basikal hydrid dan motosikal terkini serta susut sese bergambar dengan kenderaan ATV dan YZF R6. Kemasukan bagi menyaksikan perlumbaan Piala Yamaha Asean adalah percuma. 

No comments:

Post a Comment