jokisenja header

jokisenja header


Saturday, December 4, 2010

2011 pasti lebih baik: Zulfahmi

SATU-satunya pelumba MotoGP tempatan yang mewakili negara bagi seluruh musim Kejohanan MotoGP 125cc Dunia, Muhammad Zulfahmi Khairuddin mengakui sedang mengintai peluang untuk lebih menyerlah bagi tahun 2011. 

Menurut pelumba berusia 18 tahun yang berasal dari Kampung Bukit Canggang, Banting ini dia melihat tahun 2011 akan menjadi lebih baik dan lebih positif dan kita harus tunggu dan lihat prestasinya. 

“Tahun 2011 akan menjadi lebih baik dari tahun 2010. Malah, saya sangat positif mengenai perkara ini. Apa pun kita harus tunggu dan lihat,” katanya yang menamatkan perlumbaan musim ini dengan mengutip empat mata bagi empat kejohanan yang mendapat tempat ke-15. 

Namun, malangnya mata yang di kumpul bukan datang dari perlumbaannya di tempat sendiri iaitu sewaktu Shell Advance Motosikal Grand Prix Malaysia di Sepang apabila Zulfahmi hanya berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-16. 

“Saya berkeyakinan untuk membuat yang terbaik semasa di Sepang sekali gus, mencatat keputusan yang paling baik bagi tahun 2010 memandangkan ia berlangsung di tempat saya sendiri. 

“Malah, ia seperti memberi saya kelebihan apabila saya pernah menggunakan trek itu. Jika trek lain saya akan pastikan saya belajar mengenainya sehari sebelum perlumbaan. Sama ada saya berjoging atau berbasikal sekeliling trek untuk mengetahui serba-sedikit mengenai trek tersebut. 

Pelumba muda ini juga mengakui peluang untuknya cedera juga besar ketika perlumbaan percubaan malah, faktor seperti cuaca juga perlu diambil kira semasa perlumbaan. 

“Pada tahun ini sahaja saya sudah berlanggar sebanyak 20 kali. Kadang-kadang kerana kesilapan saya sendiri, motosikal dan cuaca yang menjadi faktor. 

“Saya hanya bersyukur tidak mengalami kecederaan yang serius daripada kemalangan tersebut. Kadang-kadang kita hanya menghadapi pelanggaran yang kecil namun, kecederaan yang kita alami amat serius seperti Rossi ketika di Mugello,” katanya. 

Menurutnya lagi, bagi tahun 2010 merupakan musim paling sukar buat dirinya kerana harus tinggal berseorangan di Eropah dan terpaksa memulakan hidup baru bersama teman yang baru. 

“Saya harus berhijrah untuk mendapat pengalaman dan belajar mengenai trek-trek yang lain. Tidak dapat saya nafikan ini bukan perkara yang mudah tetapi pengalaman yang saya peroleh jauh lebih bermakna.

No comments:

Post a Comment