jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, December 1, 2010

Ramdan mahu tawan Padang Kota

RAMDAN (kiri) mendahului carta keseluruhan dalam kelas CP115 dengan kelebihan 22 mata.


MOHD. RAMDAN MOHD. ROSLI ada tugas penting untuk diselesaikan pada pusingan penutup tirai Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas di Padang Kota Lama, Pulau Pinang, hujung minggu ini.
Dia mahu memastikan aksi di Pulau Mutiara itu berakhir dengan kemenangan bagi membolehkannya menggenggam gelaran juara keseluruhan kelas CP115.
Meskipun selesa mendahului carta keseluruhan dengan kelebihan 22 mata daripada pencabarnya, pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha AHM itu tidak mahu mengambil mudah perlumbaan ini, sebaliknya akan berjuang habis-habisan demi merealisasikan impiannya.
Ramdan kini mengumpul 162 mata diikuti pencabar utamanya, Mohd. Rozaiman Mohd. Said (Motul Yamaha YY Pang) yang mengumpul 140 mata.
Dua pelumba, Mohd. Adli Salihin dari Motul Yamaha YY Pang dan Mohd. Iskandar Raduan (Petronas Sprinta Yamaha Raceline) dijangka memberi saingan kerana mereka juga turut berpeluang meraih gelaran juara.
Adli dan Iskandar kini berkongsi di tempat ketiga dengan 118 mata.
Ramdan, 14, bukan sekadar mahu menambah mata bagi membolehkannya bergelar juara kelas CP115 musim ini sebaliknya menanam hasrat untuk memenangi perlumbaan penutup tirai itu.
"Saya tidak mahu mengambil mudah perlumbaan ini walaupun peluang untuk merangkul mahkota juara keseluruhan cukup cerah dan selamat. Sebenarnya, saya hanya perlu menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 dan ia sudah cukup untuk mengesahkan gelaran," jelas Ramdan yang juga merupakan anak kepada bekas pelumba Cub Prix, Mohd. Rosli Mat Sudin.
"Jika ditakdirkan dan nasib menyebelahi kami, saya harap mampu menambah satu lagi kemenangan sebelum saingan musim ini melabuhkan tirainya.
"Ini pasti sesuatu yang hebat kerana gelaran untuk anugerah pasukan terbaik sudah berada dalam genggaman kami (Petronas Sprinta Yamaha AHM)."
Sepanjang saingan musim ini, Ramdan berjaya meraih tiga kemenangan iaitu pada Pusingan 1 di Alor Setar, Kedah; Batu Kawan (Pusingan 3) dan Melaka (Pusingan 7) manakala baki selebihnya, Ramdan hanya menduduki dua kali kedudukan tempat kedua dan sekali berada di tempat ketiga.
Keputusannya paling teruk yang diraihnya ialah di Kuala Terengganu (Pusingan 5) di mana dia sekadar menghabiskan perlumbaan di tempat ketujuh.
Ramdan turut menjelaskan: "Dalam pasukan ini, kami tidak menggunakan istilah pelumba utama atau siapa yang harus menamatkan perlumbaan terlebih dahulu. Jika nasib saya baik dan saya memimpin saingan, rakan sepasukan, Shahril Izzuwan Mohd. Noor akan membantu saya dan begitu juga sebaliknya.
"Untuk itu, saya akan terus bekerja sama dengan Shahril bagi memastikan kami mampu beraksi dengan baik dan mencapai sasaran di litar Padang Kota Lama kelak," jelas Ramdan yang memulakan karier perlumbaan sejak tahun 2009.

No comments:

Post a Comment