jokisenja header

jokisenja header


Friday, July 1, 2011

XJ6 jentera 600cc pertama Hong Leong Yamaha


XJ6 dijangka mampu menggugat kedudukan selesa pesaingnya terutama model Kawasaki ER6.



HONG Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (Hong Leong Yamaha) melancarkan motosikal terbarunya iaitu XJ6 Diversion di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini. Jentera dalam segmen middle sports itu merupakan produk yang dipasang tempatan di kilang Yamaha di Sungai Buloh, Selangor.
Aktiviti pemasangan tempatan itu menjadikan Malaysia sebagai negara kedua selepas Brazil untuk menjalankan aktiviti pengeluaran model XJ6 di luar Jepun. Tujuannya adalah untuk membuatkan jentera bersesaran 600cc itu lebih mampu dimiliki.
Yamaha XJ6 Diversion dilengkapi enjin empat silinder sebaris dengan sistem penyejukkan cecair dan pancitan terus bahan api yang sama seperti model YZF-R6. Ia berupaya menjana kuasa maksimum 57Kw@10,000rpm dan tork sehingga 59.7Nm@8,500rpm.
Pengarah Urusan Hong Leng Yamaha, C.H. Ng berkata, model berkapasiti 600cc pertama keluaran Hong Leong Yamaha itu akan menawarkan pengalaman tunggangan mengujakan yang sesuai untuk gaya hidup berbeza, sama ada bagi kegunaan dalam bandar atau pengembaraan santai.
“Unjuran jualan XJ6 Diversion adalah sebanyak 600 unit setahun. Kami juga mahu mencapai penguasaan pasaran lebih besar daripada jumlah keseluruhan industri motosikal bersesaran 250cc ke atas,” katanya pada majlis pelancaran model tersebut.
Hadir sama ialah Pengurus Projek XJ6 Diversion Yamaha Motor Co. Ltd., Shin Yokomizo dan Pengurus Kanan Pemasaran Hong Leong Yamaha, G.S. Tan.
Yokomizo merupakan individu penting di sebalik pembangunan model R1 dan R6. Berhubung model terbaru itu, beliau memberitahu, konsep XJ6 Diversion adalah casual sports iaitu mudah dikendalikan, badan jentera lebih kompak dan sesuai untuk semua orang.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Hong Leong Yamaha dilihat komited dalam mengetengahkan rangkaian model motosikal dengan ciri inovatif dan berdaya saing. Lihat sahaja model-model street bike seperti FZ150i, 135LC enjin Diasil, Nouvo LC dan Ego LC yang dilengkapi dengan sistem penyejukan cecair.
Yamaha XJ6 Diversion ditawarkan pada harga RM39,000 seunit yang tidak meliputi cukai jalan, insurans dan nombor plat. Ia didatangkan dengan pilihan warna metalik biru atau hitam. Jentera itu boleh diperoleh menerusi 100 pengedar sah Hong Leong Yamaha di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment