jokisenja header

jokisenja header

Sunday, July 24, 2011

Elly Idzlianizar Ilias Juara Kategori CP130

Pelumba pasukan Global Bike Rock Oil Racing, Elly Idzlianizar Ilias


ALOR SETAR: Pelumba pasukan Global Bike Rock Oil Racing, Elly Idzlianizar Ilias menjuarai kategori utama CP130 pusingan keenam kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 di perkarangan Stadium Darulaman di sini, Sabtu.
Dengan menduduki petak utama hasil kemenangan pada saingan 'Superpole' pagi tadi, pelumba berasal dari Kangar, Perlis itu menamatkan perlumbaan 15 pusingan dengan masa 11:44.998 saat, meninggalkan Md Taufiq Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) yang mencatat 11:47.780 saat di tempat kedua.
Hafizh Syahrin Abdullah daripada pasukan Petronas Syntium Moto Yamaha Raceline menduduki tempat ketiga dengan catatan 11:48.183 saat.
Elly, 27, yang memenangi kejuaraan sulungnya tahun ini untuk menjejakkan kaki buat kali pertama di podium bagi kategori itu, berkata beliau berada pada prestasi terbaik untuk saingan kali ini.
"Dengan memantapkan kekuatan fizikal dan mental serta pelarasan enjin yang bagus, nampak usaha dan kerja kuat rakan sepasukan termasuk mekanik membuahkan kejayaan manis buat kami," katanya.
Beliau berkata kejayaan ini merupakan hadiah kepada anggota pasukannya yang bertungkus lumus memantapkan jentera untuk menghadapi persaingan kompetitif dengan pelumba-pelumba lain.
Elly berkata beliau memberi tumpuan sepenuhnya menguasai jentera dan tidak mempedulikan pelumba lain.
"Saya juga tidak sedar dua pelumba terdekat terjatuh namun ia memberi peluang kepada saya untuk menjarakkan diri dengan pelumba lain dan mudah muncul sebagai juara," katanya.
Dua pelumba yang mewakili TEQ SCK Honda Racing, Norizman Ismail dan Azlan Shah Kamaruzaman yang mengikut rapat Elly berlanggar sesama sendiri lalu terjatuh.
Kategori CP115 menyaksikan penguasaan pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing, Md Azhar Abd Jalil yang menamatkan 12 pusingan dengan mencatat 9:40.169 saat dikuti Md Emir Firdaus Hasan dari pasukan M-Seki Liberty Honda Racing (9:40.883 saat) di tempat kedua.
Pelumba pasukan Petronas Syntium Moto Yamaha AHM, Md Hafieenaz Md Ali menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 9:41.296 saat.
Md Azhar dari Klang, Selangor berkata kejayaannya amat bermakna kerana ia merupakan podium pertama bagi beliau setelah beralih daripada kelas Wira ke CP115 tahun ini.
"Saya merasakan litar di Alor Setar memberi tuah selain sokongan rakan-rakan serta mekanik membuatkan jentera saya lebih laju," katanya yang menjuarai kategori Wira dua tahun berturut-turut di litar sama pada tahun lepas dan 2009.
Kategori Wira dimenangi Mohd Adib Rosley daripada pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing selepas menamatkan 10 pusingan dengan masa 8:16.363 saat, kedua pelumba pasukan MOS Malaysia Racing, Zulsyafiz Rosli (8:17.554 saat) dan Md Solehin Md Sukor (Honda Promax X-Dot Racing) tempat ketiga (8:18.650 saat).
Kejohanan pusingan ketujuh dijadualkan berlangsung di litar Kluang, Johor pada 24 dan 25 Sept depan.

No comments:

Post a Comment