jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, July 20, 2011

Ramdan yakin peluang rebut kejuaraan



Penunggang PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM, Ramdan beraksi semasa Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 di Teluk Intan, Perak.

ALOR STAR - Mohd Ramdan Mohd Rosli mahu terus menghidupkan peluang bagi merebut gelaran juara kategori CP130 dengan mengutip seberapa banyak mata pada Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 22 dan 23 Julai ini.“Separuh daripada musim 2011 sudah berlalu dan kini separuh musim kedua baru sahaja bermula. Berbaki lima pusingan sahaja lagi, sukar untuk kita jangkakan apa akan berlaku selepas ini,” kata Juara CP115 2010 itu.
Pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM tersebut ketika ini menduduki tangga  kelima dengan 45 mata dan percaya peluang merebut gelaran juara keseluruhan masih terbuka luas.
Norizman Ismail dari pasukan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing kini mendahului carta keseluruhan CP130 dengan 79 mata diikuti Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing) dengan 52 mata manakala rakan sepasukan Norizman, Mohd Affendi Rosli ketiga dengan 51 mata.
"Walaupun ketinggalan 34 mata dari Norizman, saya yakin dapat mengejarnya dan juga pelumba lain yang berada di atas. Saya tidak akan berputus asa dan tidak mudah untuk menyerah kalah sebelum berjuang habis-habisan," kata Ramdan.
Pelumba 15 tahun itu mencipta kejutan awal musim ini apabila muncul juara pada pusingan pembukaan di Kangar namun selepas itu tidak beraksi pada tiga pusingan berikutnya akibat kecederaan kaki yang dialami sewaktu menjalani latihan. Ramdan membuat kemunculan semula pada Pusingan 5 yang berlangsung di Teluk Intan dan berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Menyentuh tentang litar Alor Setar, dia berkata, "Tahun lepas saya memenangi perlumbaan CP115 di sini dan ia turut menghadirkan banyak kenangan manis buat saya. Litar ini tidak begitu teknikal dan saya gembira beraksi di sini. Namun kali ini saya terpaksa berhadapan dengan pelumba lebih berpengalaman berbanding musim lepas. Saya berharap tidak akan pulang dengan tangan kosong."
Peminat-peminat boleh menyaksikan siaran langsung di Astro Supersport 1 (811) dari jam 2.30 petang ke 4.30 petang Sabtu ini.

No comments:

Post a Comment