jokisenja header

jokisenja header


Sunday, July 17, 2011

KHAIRUL ADLI MAHU TEPIS KRITIKAN




Khairul Adli Azhar berhasrat untuk membuktikan kritikan terhadapnya adalah tidak tepat menjelang Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 di Alor Setar, Kedah pada 22 dan 23 Julai ini.

Pelumba Suzuki FortyOne Racing itu mahu menunjukkan kejayaan menaiki podium di Teluk Intan (Pusingan 5) bukan sekadar nasib, tetapi turut banyak dibantu oleh kesungguhan dan kerja keras dirinya serta seluruh kakitangan pasukan.

Kejayaan di tempat kedua pada Pusingan 5 merupakan podium pertama buat Khairul di dalam kategori Wira sejak dia mula beraksi di dalam Cub Prix pada penghujung tahun 2007. Ketika itu Khairul berusia 14 tahun di bawah pasukan Idemitsu Honda Racing.

Dia kemudian meneruskan cabaran pada tahun 2008 bersama pasukan Modenas Yuzy Pachie Racing dalam kategori yang sama sebelum beralih ke kategori Novis (CP115) bersama pasukan Naza Sukimi UTM Racing pada tahun berikutnya. Kelibatnya dalam kategori pertengahan walau bagaimanapun tidak tahan lama apabila dia kembali beraksi dalam kategori Wira pada tahun 2010 dengan pasukan yang sama sebelum beralih ke pasukan barunya pada musim ini.

"Kami semua telah bekerja keras untuk mencari kemenangan pada Pusingan 5 lepas dan ia bukan sekadar bernasib baik. Saya mahu membuktikannya sekali lagi dengan menjejaki podium di Alor Setar minggu depan," katanya.

Pelumba 17 tahun itu menjelaskan tentang pencapaiannya di Teluk Intan dengan berkata, "Permulaan saya begitu baik pada pusingan lepas dan ini membolehkan saya menjarakkan diri daripada pesaing-pesaing lain sejak awal perlumbaan lagi. Tambahan pula keadaan cuaca tidak begitu panas dan amat bersesuaian dengan jentera Suzuki saya. Namun selepas separuh perlumbaan, cuaca mula berubah menyebabkan enjin saya bertambah panas dan sekaligus kuasanya juga mula berkurangan.

"Saya berusaha untuk mengekalkan kedudukan pendahulu daripada Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) namun pelarasan jenteranya jauh lebih baik dan dia berjaya melintasi saya. Mekanik pasukan telah bekerja keras menyediakan pelarasan terbaik namun keadaan sekeliling tidak banyak membantu kami," kata Khairul yang kini berada di kedudukan kelima keseluruhan dengan 50 mata.

Pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu menambah, "Walaupun saya hanya berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua, kami berjaya mengumpul maklumat berguna di Teluk Intan. Kami harap dapat menggunakan data-data yang diperolehi dan menghasilkan pelarasan yang lebih mantap bagi perlumbaan di Alor Setar di mana litar kali ini lebih teknikal," katanya.

Zulsyafiz mendahului kedudukan keseluruhan kategori Wira dengan 89 mata diikuti Hafiza Rofa (Faito YSP Racing) kedua dengan 75 mata dan Nurahmad Fariznazreen (Motul Yamaha YY Pang Racing) ketiga dengan 59 mata.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd


No comments:

Post a Comment