jokisenja header

jokisenja header


Thursday, July 28, 2011

Pelumba Boon Siew Honda sertai aksi Suzuka



Pasukn Boon Siew Honda Racing Malaysia.

KUALA LUMPUR - Pelumba Boon Siew Honda Racing Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman dan Mohd Emir Firdaus Hasan melangkah lebih jauh dalam mengembangkan karier mereka apabila akan beraksi dalam saingan Perlumbaan Suzuka 8 Hours Endurance Road Race ‘Coca Cola Zero’ yang ke-34 di Litar Suzuka pada 28 hingga 31 Julai ini.

Pasangan yang turut beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) dalam kategori SuperSports 600cc itu turut bakal  mencatat sejarah sebagai wakil pertama negara mengambil bahagian dalam perlumbaan tradisional yang dianggap antara terbesar oleh pelumba-pelumba handalan Jepun di seluruh dunia.

Azlan dan Emir akan mengambil bahagian dalam kategori '4 hours' di atas jentera Honda CBR600RR. Sepertimana namanya, kategori tersebut akan berlangsung secara berterusan selama empat jam dan kedua-dua pelumba akan silih berganti sepanjang perlumbaan.

“Objektif utama bukan hanya untuk memberi lebih banyak pendedahan, malah ia juga untuk menilai dan mengukur kemampuan mereka menentang pelumba-pelumba terbaik Jepun di litar dan suasana yang berbeza. Dengan berbuat demikian, kami berharap mereka lebih yakin mengendalikan jentera 600cc, dapat memberi pandangan teknikal yang lebih baik dan akhirnya dapat mencapai keputusan yang lebih baik di ARRC,” jelas Pengarah Boon Siew Honda Racing Sdn Bhd, Tan Hui Jing.

Walaupun kategori empat jam ini lebih singkat waktunya dari kategori '8 hours', dia percaya ia bukanlah suatu tugas mudah. Sebaliknya dia berpendapat perlumbaan tersebut pasti mencabar kerana ia mengetengahkan format yang berbeza.

“Bukan hanya litar Suzuka begitu teknikal malah Azlan dan Emir juga perlu berhadapan dengan saingan hebat pelumba Jepun yang pernah beraksi berulang-kali di litar yang sama. Selain itu, ini merupakan kali pertama mereka beraksi dalam perlumbaan 'endurance' seperti ini. Oleh itu mereka memerlukan perancangan yang amat teliti dan rapi dari segi strategi."

Dia turut menambah,”Dari segi persediaan teknikal, kami tidak begitu bimbang kerana kami mendapat kerjasama daripada pihak Harc-Pro. Mereka merupakan pasukan satelit terbaik Honda di Jepun dan saya yakin mereka dapat membantu kami untuk menyediakan sebuah jentera yang cukup kompetitif.”

Apabila di tanya tentang kekuatan dan kelemahan Azlan dan Emir pada perlumbaan ini, Hui Jing berkata, “Azlan membawa reputasi tinggi sebagai salah seorang pelumba terbaik SuperSports 600cc negara dan dia telah membuktikan kemampuannya di ARRC apabila mampu menyaingi pelumba kelas dunia, Katsuaki Fujiwara (Manual Tech Beet Kawasaki Racing). Tambahan pula dia turut mempamerkan prestasi yang baik sewaktu menjalani latihan di Suzuka beberapa minggu lepas.

"Namun, walaupun dia pantas, tahap kecergasannya tidak sekuat Emir. Emir pula agak perlahan dan kurang berpengalaman, namun dia mempunyai tahap kecergasan yang baik dan dapat beraksi secara konsisten pada setiap pusingan. Dengan itu, kami harap kedua-dua pelumba ini dapat berada di kalangan 10 pelumba terbaik."

No comments:

Post a Comment