jokisenja header

jokisenja header

Friday, July 8, 2011

RUMUSAN SEPARUH MUSIM PERTAMA 2011: CP130



Separuh musim pertama Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 jelas begitu sengit apabila empat pelumba berbeza muncul juara bagi lima pusingan yang telah berlangsung. Mendahului kedudukan CP130 ketika ini ialah Norizman Ismail dengan 79 mata. Pelumba Harian Metro TEQ SCK Honda Racing itu merupakan pelumba paling dominan dalam kategori premier ini dengan memenangi dua pusingan berturut-turut menakluki litar Putrajaya (Pusingan 4) dan Teluk Intan (Pusingan 5). Kita imbas kembali apa yang berlaku.

Pusingan 1- Kangar, Perlis

Pelbagai ramalan dibuat pada awal musim setelah juara kategori CP130, Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) mengumumkan persaraannya dari Cub Prix selain dengan kehadiran pelumba-pelumba baru yang beralih ke kategori yang lebih tinggi ini.

Pusingan pembukaan menyaksikan pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM Racing bermula cemerlang apabila Mohd Ramdan Mohd Rosli dan Mohd Zamri Baba dengan mudah menguasai Pusingan 1 di Stadium Utama Kangar, Perlis.

Zamri yang bermula di petak pertama setelah mencatat masa terpantas ketika sesi Superpole yang diperkenalkan buat pertama kali gagal menggunakan kelebihannya sekaligus memberi ruang buat rakan mudanya, Ramdan mengetuai perlumbaan.

Kedua-dua pelumba AHM bersaing sesama sendiri sebelum Ramdan berjaya melintasi garisan penamat sebagai juara dengan catatan 10:53.301s, 1.902s dihadapan Zamri (10:55.203s). Kemenangan ini juga membolehkan Ramdan memadam rekod Hafizh sebagai pelumba termuda yang memenangi perlumbaan CP130.

Permulaan baik buat Elly Idzlianizar Ilias dari Global Bike Rock Oil turut disia-siakan apabila peluang untuk menjejakkan kaki di atas podium gagal setelah terbabit dengan kemalangan seawal pusingan pertama.

Sementara itu, pelumba Pachie Yuzy Honda Racing, Mohd Zaqhwan Zaidi mencatat keputusan membanggakan buat pasukannya apabila meraih podium pertama dalam perlumbaan kategori utama selepas bersaing sengit dengan Mohd Affendi Rosli (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) untuk berada di tempat ketiga dengan masa 10:59.292s.

Pusingan 2- Batu Kawan, Pulau Pinang

Ekoran kecederaan pada kaki, Ramdan terpaksa menarik diri dari Pusingan 2 dan ini sekaligus memudahkan kerja pelumba veteran Ahmad Fazli Sham merangkul gelaran juara.

Pelumba 29 tahun itu yang berpindah dari Yamaha Maju Motor Racing ke Pennzoil Fastrac Racing bermula cukup pantas memintas Zamri yang bermula dari petak pertama sebaik pelumba-pelumba dilepaskan. Zamri berjaya mengejar namun prestasinya menurun secara tiba-tiba sehingga berjaya dikejar oleh Affendi yang berada di kedudukan ketiga.

Nasib Zamri semakin malang apabila gagal mengawal jenteranya sehingga terjatuh pada pusingan keenam. Dia berjaya meneruskan perlumbaan selepas insiden tersebut namun terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal pada pusingan ke-11.

Fazli menamatkan perlumbaan Pusingan 2 dengan masa keseluruhan 14:03.519s, 8.767s dihadapan Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) yang berada di tempat kedua setelah Affendi dikenakan penalti 30 saat kerana melakukan kesalahan jump start. Rakan pasukan Muhaimin, Ahmad Fuad Baharudin pula menduduki tempat ketiga. Kedua-dua pelumba ini melakukan catatan 14:12.286s dan 14:13.400s.

Pusingan 3- Kuala Terengganu, Terengganu

Azlan Shah Kamaruzaman berjaya menamatkan penantiannya untuk menjuarai kategori utama pada Pusingan 3 di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Terengganu

Permulaan kurang baik Azlan menyebabkan dia ketinggalan kepada Fazrul yang menampilkan prestasi baik sepanjang minggu untuk berada di hadapan. Dua pelumba ini bersaing sengit sehingga berbaki satu pusingan Fazrul melakukan sedikit kesilapan membolehkan Azlan menggunakan kesempatan itu untuk memintas.

Pelumba Harian Metro SCK Honda Racing itu menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 10:30.007s manakala Ahmad Fazrul Sham (Pennzoil Fastrac Racing) mencatatkan 10:31.071s untuk berada di tempat kedua manakala Fuad di tempat ketiga dengan masa keseluruhan 10:32.129s.

Pusingan 4- Putrajaya, Wilayah Persekutuan

Rakan sepasukan Norizman dan Affendi menamatkan Pusingan 4 dengan senyuman lebar apabila berjaya meraih kedudukan 1-2 kategori CP130 yang berlangsung di Presint 3, Putrajaya.

Dianjurkan bersempena Hari Belia Negara, pelumba Harian Metro TEQ SCK Honda Racing itu mempamerkan aksi hebat sepanjang minggu dan Norizman yang bermula di petak pertama menggunakan kelebihan itu untuk segera menjarakkan diri dari Affendi dan Zamri yang berada di belakangnya.

Nekad untuk mendapatkan keputusan terbaik, kedua-dua pelumba itu tidak teragak-agak untuk memecut ke hadapan. Keberkesanan jentera Honda mereka turut memberi kelebihan untuk menjarakkan diri dari pesaing.

Norizman melintasi garisan sebagai juara dengan catatan masa keseluruhan 13:14.511s. Affendi di tempat kedua ketinggalan 3.030s dengan catatan 13:17.541s manakala Fazrul yang bermula di petak kelapan berada di tempat ketiga dengan masa 13:20.795s.

Pusingan 5- Teluk Intan, Perak

Persaingan menarik berlaku di Teluk Intan, Perak apabila juara bertahan, Hafizh kembali beraksi dan begitu juga dengan Ramdan yang baru pulih dari kecederaan kaki. Walau bagaimanapun, ia tidak mampu menghalang Norizman dari mencatat kejayaan keduanya.

Namun kemenangan pelumba 26 tahun itu bukan sesuatu yang mudah. Walaupun bermula dengan baik dan mendahului perlumbaan, Hafizh dan Ramdan memberikan tentangan hebat untuk merebut kedudukan di atas podium.

Ketiga-tiga pelumba dilihat bertukar kedudukan pendahulu namun dengan tekanan yang memuncak, berlaku perlanggaran diantara Hafizh dan Zamri yang berada di kedudukan keempat menyebabkan mereka ketinggalan kepada pelumba-pelumba di hadapan.

Dengan dua pelumba jauh ketinggalan, Norizman berjaya menjarakkan diri daripada Ramdan dan seterusnya menamatkan perlumbaan 14 pusingan itu dengan masa keseluruhan 13:33.186s. Tambahan 25 mata yang diperoleh meletakkan Norizman agak selesa sebagai pendahulu Kejuaraan dengan 79 mata.

Ramdan pula muncul tempat kedua dengan 13:35.854s diikuti Azlan Shah ketiga dengan 13:42.589s.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment