jokisenja header

jokisenja header


Friday, July 8, 2011

RUMUSAN SEPARUH MUSIM PERTAMA 2011: WIRA


Kategori Wira memainkan peranan penting bagi pembangunan dan pembentukan pelumba-pelumba generasi akan datang. Walaupun masih setahun-jagung di dalam kancah Cub Prix, kemampuan dan kualiti yang ada pada pelumba yang berusia di antara 13 hingga 17 tahun ini tidak boleh diperkecilkan. Ini cukup jelas kerana saingan di dalam kelas ini cukup sengit terutamanya di kalangan mereka yang konsisten berada di kelompok hadapan. Kita imbas apa yang berlaku di dalam kategori ini pada lima pusingan lalu.

Pusingan 1 -Kangar, Perlis

Dengan Mohd Azhar Abdul Jalil kini beraksi di dalam kategori CP115, ramai yang menjangkakan juara bertahan, Mohd Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing) dapat mempertahankan kemenangannya sebaik pusingan pembukaan berlangsung namun jangkaan meleset apabila Mohd Hafiza Rofa (Faito YSP Racing) pula mencuri perhatian di Kangar, Perlis.

Pelumba 15 tahun itu berjaya menggunakan kelebihan bermula di petak pertama untuk meraih kemenangan dalam persaingan sengit bersama-sama Nurahmad Fariznazreen (Motul Yamaha YY Pang Racing) dan Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) yang menduduki tempat kedua dan ketiga.

Sementara itu, catatan terpantas yang dilakukan oleh Adib dibatalkan oleh steward perlumbaan dan secara automatik dia tidak dapat beraksi di pusingan akhir setelah menerima hukuman kerana gagal mematuhi peraturan bendera kuning.

Pusingan 2 -Batu Kawan, Pulau Pinang

Nasib Adib terus malang di Batu Kawan walaupun kali ini dia memulakan perlumbaan di petak pertama. Pelumba 16 tahun itu mengalami kemalangan dengan pendahulu, Mohd Solehin Sukor (Team Honda Promax X-Dot Honda Racing) ketika baru berlangsung tiga pusingan. Ini sekaligus membolehkan Zulsyafiz mencuri kedudukan hadapan dan mencapai sasarannya untuk meraih kejuaraan pertamanya musim ini.

Namun, ia bukan kemenangan mudah buat Zulsyafiz dengan Nurahmad memberikan tentangan hebat. Kedua-dua pelumba dilihat beraksi pada tahap maksimum sebelum Zulsyafiz memenangi perlumbaan dan lawannya terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan muncul tempat ketiga.

Pemenang pusingan pertama, Hafiza pula gagal melayakkan diri ke perlumbaan akhir apabila terlibat dengan kemalangan pada sesi kelayakan.

Pusingan 3 -Kuala Terengganu, Terengganu

Hafiza Rofa menebus kekecewaanya di Batu Kawan meraih kemenangan keduanya buat musim ini di halaman sendiri di Terengganu. 

Pelarasan jentera yang mantap memberikan kelebihan kepadanya sekaligus membolehkannya memintas Adib di peringkat awal perlumbaan sebelum mendahului perlumbaan sehingga ke garisan penamat. Tempat kedua dimenangi Mohd Emir Fareez Hasan (Honda Promax X-Dot Racing) diikuti Adib di tempat ketiga.

Pusingan 4 -Putrajaya
Hafiza terus mempamerkan kehebatannya apabila meraih kemenangan ketiga musim ini di Putrajaya. Pelumba kelahiran Terengganu memberikan saingan sengit kepada Zulsyafiz yang ketika itu mendahului perlumbaan pada peringkat pertama perlumbaan.

Malang buat Zulsyafiz apabila dia melakukan kesilapan yang membolehkan Hafiza mara ke hadapan dan menamatkan saingan 10 pusingan itu di tempat pertama. Zulsyafiz pula terpaksa akur di tempat kedua manakala Emir Fareez terus konsisten untuk muncul di tempat ketiga.

Dengan tambahan 25 mata, Hafiza terus mengukuhkan kedudukannya di dalam carta keseluruhan dengan 75 mata, 11 mata lebih dari Zulsyafiz. Nurahmad pula berada di tangga ketiga dengan 59 mata.

Pusingan 5 -Teluk Intan

Malang menimpa Hafiza apabila sekali lagi dia gagal melayakkan diri ke perlumbaan final. Ini sekaligus memudahkan kerja Zulsyafiz mencatat kemenangan keduanya musim ini dalam kategori Wira di Teluk Intan.

Walau bagaimanapun, perlumbaan tersebut jauh dari mudah buat Zulsyafiz. Dia memulakan perlumbaan agak lambat akibat terganggu oleh 'jumpstart' yang dilakukan Nurahmad. Akibatnya, dia kehilangan beberapa saat dan ini membolehkan Adib dan Mohd Khairul Adli Azhar (Suzuki FortyOne Racing) untuk mara ke hadapan.

Pantang mengaku kalah, Zulsyafiz terus memecut bagi mengejar Adib sebelum memotongnya di selekoh U dan mengalihkan perhatiannya ke atas Khairul Adli yang mendahului dengan jarak yang selesa.

Nasib kurang menyebelahi Khairul Adli apabila jentera Suzuki-nya mula meragam sekaligus memberikan peluang buat Zulsyafiz merapatkan jurang dan memotongnya sebelum memenangi perlumbaan tersebut.

Khairul Adli pula muncul di tempat kedua diikuti Adib ketiga.

Dengan tambahan 25 mata, Zulsyafiz mencuri kedudukan keseluruhan Wira daripada Hafiza dengan 89 mata. Hafiza pula jatuh ke tangga kedua dengan 75 mata dan tempat ketiga menjadi milik Nurahmad dengan 59 mata.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment