jokisenja header

jokisenja header


Friday, July 8, 2011

RUMUSAN SEPARUH MUSIM PERTAMA 2011: CP115



Sepertimana CP130, saingan kategori CP115 juga tidak kurang sengitnya. Setakat ini, empat pemenang yang berbeza telah diperoleh dari lima pusingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 dan pertarungan dijangka bertambah sengit apabile Kejuaraan ini melangkah masuk separuh musim kedua dalam masa dua minggu lagi. Kita imbas kembali apa yang berlaku 

Pusingan 1 - Kangar, Perlis

Shahril Izzuwan Mohd Noor berjaya meraih gelaran juara pada pusingan pembukaan CP115 di Kangar, Perlis.

Pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM itu mempamerkan aksi konsisten untuk bermula di petak pertama selepas sesi kelayakan yang berlangsung pada sebelah pagi. Namun Shahril gagal mengekalkan kedudukan pendahulu daripada Zaidy Mohd Zaifaizal (Motul Yamaha YY Pang Racing) setelah bermula perlahan sebaik pelumba-pelumba dilepaskan.

Walau bagaimanapun, kemaraan Zaidy tidak berpanjangan apabila dia melakukan kesilapan sewaktu menukar gear ketika di selekoh 4 pada pusingan pertama dan Shahril tidak mensia-siakan peluang tersebut untuk mencuri kedudukan pendahulu. Dari situ, Shahril terus mendahului sehingga ke garisan penamat diikuti dua pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing, Mohd Adli Salihin dan Zaidy.

Pusingan 2 - Batu Kawan

Zaidy menenebus kesilapannya di Kangar dengan menguasai saingan CP115 yang berlangsung di halaman sendiri, Batu Kawan. Yakin akan peluangnya ditambah pula dengan sokongan keluarga dan juga rakan-rakan yang hadir, Zaidy mempamerkan persembahan mantap mendominasi perlumbaan 12 pusingan tersebut dari mula hingga akhir.

Pesaing terdekatnya ketika itu ialah Ahmad Abdul Kadir (APIDO Yamaha Boon Kui Racing). Pelumba dari Sarawak itu memberikan tentangan hebat namun pengalaman dan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri jelas memberi Zaidy  kelebihan. Tempat ketiga pula menjadi milik Mohd Hafieenaz Mohd Ali (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM).

Pusingan 3 - Kuala Terengganu, Terengganu

Zaidy mengekalkan rentak cemerlang pada pusingan ketiga yang berlangsung di Terengganu.  Ia satu perlumbaan menakjubkan buat Zaidy apabila tanpa disangka dia mampu menjejakkan kaki di atas podium walaupun terpaksa bermula dari petak ke-13 setelah ekoran kemalangan sewaktu sesi kelayakan.

Di sebalik kekurangan itu, Zaidy nekad meletakkan dirinya bersama barisan hadapan. Dia mencuba sejak awal perlumbaan, memintas seorang demi seorang lawannya sebelum berjaya merapatkan kedudukan dengan Sasitharen Sukumaran (M-Seki Liberty Honda Racing) yang mendahului perlumbaan.

Sasi kemudiannya terjatuh setelah gagal menahan asakan yang diberikan Zaidy dan ini membolehkan Zaidy melintasi garisan penamat ditempat pertama diikutii Mohd Rozaliman Zakaria (ZAR Racing Motorsport) dan Adli ketiga.

Pusingan 4 - Putrajaya

Mohd Emir Firdaus Hasan menyinar pada Pusingan 4 di Putrajaya apabila meraih kemenangan pertamanya musim 2011 dalam kelas pertengahan ini. Emir mencipta keajaiban pada perlumbaan yang dianjurkan bersempena Hari Belia Negara ini apabila sekadar bermula di petak ke-12.

Permulaan yang baik membolehkan Emir berada di kedudukan keempat dan bersaing dengan bekas rakan sepasukannya, Zaidy manakala Ahmad dan Mohd Fitri Ashraf Razali (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) bersaing untuk merebut podium kemenangan.

Ketika persaingan semakin memuncak, Ahmad dan Fitri mengalami kemalangan ketika perlumbaan berbaki dua pusingan sekaligus membolehkan Zaidy dan Emir bersaing bagi merebut kedudukan pertama. Malangnya, nasib kurang menyebelahi Zaidy apabila dia terlibat dengan kemalangan pada lap terakahir.

Tempat kedua dimiliki Mohd Rozaiman Mohd Said diikuti Fitri di tempat ketiga.

Pusingan 5 - Teluk Intan, Perak

Ahmad menebus segala kekecewaan pada pusingan lepas untuk muncul juara di Teluk Intan.

Bagi mengurangkan tekanan, Ahmad memastikan dirinya hanya bermula di petak kedua dan dari situ dia merampas kedudukan pendahulu sebelum menguasai perlumbaan sehingga ke garisan penamat. Kali ini nasibnya begitu baik apabila tidak melakukan sebarang kesilapan seperti yang berlaku ketika di Putrajaya.

Sementara itu Shahril yang gagal menaiki podium pada tiga pusingan lepas kembali bangkit apabila berada di tempat kedua manakala Rozaliman ketiga.

20 mata yang diperoleh membolehkan Shahril merampas kedudukan pendahulu keseluruhan daripada Zaidy dengan 81 mata manakala Zaidy jatuh ke tangga kedua dengan 76 mata. Emir di kedudukan ketiga dengan 56 mata.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment