jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, July 20, 2011

Rozaliman tidak terburu-buru



Rozaliman kini berada di tangga kelima dalam senarai kedudukan CP115.
KUALA LUMPUR, (D5) - Mohd Rozaliman Zakaria tidak terburu-buru dalam perebutan takhta Kejuaraan CP115 apabila turun beraksi pada Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah  pada 22 dan 23 Julai ini.

Berbaki lima pusingan, pelumba ZAR Racing Motorsport itu sekadar berada di kedudukan kelima dalam senarai keseluruhan dengan 51 mata namun dia masih belum terdesak untuk mengejar kedudukan pendahulu kejuaraan CP115. Ini kerana Rozaliman hanya ketinggalan tiga mata kepada Mohd Adli Salihin (Motul Yamaha YY Pang) dan Mohd Emir Firdaus Hasan (M-Seki Liberty Honda Racing) yang terikat di kedudukan ketiga dengan 54 mata.

Sementara itu kedudukan teratas menjadi milik Shahril Izwan Mohd Noor dari PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM dengan 81 mata diikuti rakan sepasukan Adli, Zaidy Mohd Zaifaizal dengan 76 mata.

Pelumba kelahiran Terengganu itu mensasarkan untuk berada di tangga ketiga keseluruhan pada saingan musim 2011 selain berharap dapat menjejakkan kaki di atas podium sekali lagi pada perlumbaan minggu ini.

"Walaupun saya berada di tangga kelima, perbezaan mata antara saya dengan Adli dan Emir tidak begitu besar dengan hanya tiga mata membezakan kami. Lagipun, sasaran saya adalah untuk berada di tangga ketiga keseluruhan dan ia merupakan satu sasaran yang realistik. 

"Di samping itu saya mahu menjadi antara tiga pelumba terawal yang melintasi garisan penamat di Alor Setar nanti,” kata Rozaliman yang berjaya menaiki podium sebanyak dua kali setakat ini.

Kejayaan pertama Rozaliman hadir di Kuala Terengganu (Pusingan 3) dengan menduduki tempat ketiga manakala di Teluk Intan (Pusingan 5) dia memperbaiki keputusan dengan menduduki tempat kedua. Ketika di Kangar (Pusingan 1) Rozaliman turut menamatkan perlumbaan di tempat ketiga namun jatuh ke tangga 17 setelah dikenakan penalti 30 saat selepas didapati bersalah melakukan kesalahan jump-start.

Rozaliman turut menambah, “Ketika Pusingan 3, kami berjaya menemui pelarasan yang tepat manakala pada Pusingan 4 (Putrajaya), kami cuba menggunakan enjin baru untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik. 

"Malang sekali keputusan tidak seperti yang diharapkan apabila saya hanya berjaya mengutip dua mata. Di Teluk Intan kami kembali kepada pelarasan serupa dan berjaya menghasilkan keputusan yang kami inginkan. Bagi pusingan akan datang, kami akan menggunakan enjin yang sama dan saya yakin dapat berada di barisan hadapan."

Bertanyakan tentang peluang untuk merebut gelaran juara keseluruhan, dia berkata, “Persaingan semakin lama semakin sengit terutama dari pasukan Honda. Pada saat ini, saya tidak memikirkan tentang gelaran lagi kerana objektif saya adalah untuk berada di tangga ketiga keseluruhan. 

"Kami akan lihat  bagaimana keputusan pada Pusingan 7 (Melaka) nanti dan selepas itu baru boleh merancang strategi pada peringkat penting Kejuaraan nanti.”

No comments:

Post a Comment