jokisenja header

jokisenja header


Tuesday, July 26, 2011

Vespa gamit memori


LX150 memiliki daya pecutan luar biasa.
VESPA, bukan nama asing dalam industri motosikal global. Pengenalannya dikatakan bermula pada awal tahun 1940-an di Itali. Pada ketika itu, model Vespa MP5 Paperino diperkenalkan oleh syarikat Piaggio.
Bermula dari situ, jentera besi ini mula berkembang sehingga terdapat lebih 138 versi Vespa. Namun, ketika ini, hanya lima versi sahaja masih dalam pengeluaran.
Motosikal era pascaperang dunia kedua itu pernah memiliki tarikan populariti yang cukup luas. Lihat sahaja pada jumlah jualannya. Tahun 1947 menyaksikan sebanyak 2,500 unit berjaya dijual.
Tiga tahun kemudian, jualannya mencecah paras 60,000 unit. Pada tahun 1956, satu juta unit Vespa sudah dijual. Selepas 50 tahun Vespa diperkenalkan, jualannya menjangkau 15 juta unit.
Motosikal itu juga bukan asing di negara ini. Ia pernah muncul dalam dua filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, iaitu Ali Baba Bujang Lapok dan Nasib Do Re Mi.
Tiada klac tangan
Senario kebangkitan Vespa bermula apabila Piaggio memperkenalkan barisan skuter Vespa berwajah moden sekitar tahun 2009. Jentera ikonik Itali itu pantas menjadi antara penyataan fesyen dan skuter gaya hidup. Di Malaysia, ia diedarkan oleh anak syarikat Kumpulan Naza, Naza Premira Sdn. Bhd. (Naza Premira). Antara model ditawarkan ialah Vespa LX150, Vespa GTS 300 dan Vespa GTV 250.
Baru-baru ini, saya berpeluang menunggang uji model LX150. Lokasinya hanya di sekitar Kuala Lumpur. Sekali pandang, identiti klasiknya masih dikekalkan.
Paling dominan ialah lampu dan cermin sisi berbentuk bulat, di samping dapra depan yang lebar. Ia memiliki peratus penggunaan besi yang tinggi berbanding plastik. Penggunaan komponen berwarna krom pada beberapa bahagian tertentu skuter ini menyerlahkan lagi keanggunannya.
Perkara pertama dikesan ialah jentera ini tiada gear tangan dan klac. LX150 bertransmisi automatik. Ia dilengkapi enjin silinder tunggal empat lejang bersesaran 149.5cc.
Jadi, anda tidak lagi perlu menggunakan minyak 2T seperti varian lamanya. Enjin tersebut berupaya menjana kuasa maksimum 9.7kW pada 7,750 rpm. Tork maksimum pula ialah 11.5Nm pada 6,000 rpm.
Sistem Operasi
Untuk menghidupkan LX150, tongkat tunggal perlu dinaikkan dahulu sebelum menarik brek tangan dan menekan butang pemula. LX150 turut dilengkapi penghidup tendang. Jika mahu menggunakan penghidup tendang, posisikan LX 150 di atas tongkat kembarnya terlebih dahulu.
Pulas sahaja pendikit minyaknya, jentera ini akan meluncur dengan lancar. LX150 masih menggunakan sistem karburator. Jangan terkejut apabila memandang jarum meter yang bergerak laju kerana dalam beberapa saat sahaja ia boleh mencecah 80 kilometer sejam (km/j). Kelajuan maksimum bagaimanapun gagal dikenal pasti.
INSTRUMEN panel meter komprehensif dan mudah dibaca sewaktu tunggangan.


Sebabnya, tayar belakang Vespa yang ditunggang uji sering mengalami masalah angin meresap. Puncanya terletak pada dua lubang tayar yang sudah pun ditampal dengan 'cacing'. Ia tetap bocor.
Tiap kali mahu menunggang, angin perlu diisi semula agar dapat merasai tunggangan sebenar. Tiada masalah jika terpaksa menunggang dalam tempoh lama kerana keselesaan tempat duduknya yang lebar dan besar. Punggung pun tidak terasa kebas.
Sewaktu menunggang dalam kesesakan jalan raya, saya mendapati Vespa cukup mudah dikendalikan. Meskipun memiliki saiz bahagian belakang yang besar, ia tidak mengganggu konsentrasi tunggangan.
LX150 dipasang dengan rim aloi ringan. Saiz depan ialah 11 inci manakala belakang pula 10 inci. Tayar digunakan masing-masing bersaiz 110/70 di depan dan 120/70 di belakang. Brek cakera hadapan 200 milimeter (mm) cukup efisien untuk menghentikan jentera. Sementara brek belakang menggunakan khidmat brek jenis drum bersaiz 110mm.
Skuter ini dilengkapi tangki minyak berkapasiti 8.5 liter termasuk minyak simpanan sebanyak dua liter. Saya mengisi petrol Ron95 berjumlah RM7 (3.68 liter) ke dalam tangki yang kosong. Meter minyak kemudiannya menunjukkan petrol memenuhi 50 peratus tangki.
Perjalanan dari stesen minyak Shell di Jalan Selangor, Petaling Jaya ke Chan Sow Lin dan terus menghala ke Ampang Point. Dari Ampang, saya menunggang semula ke Chan Sow Lin. Bacaan pada meter, daripada setengah tangki petrol, ia tinggal kira-kira suku tangki sahaja. Kelajuan purata tunggangan ialah 60-80 km/j. Jimat juga.
Harga tunai atas jalan LX150 ialah RM10,988.15 seunit. Ia termasuk jaminan selama satu tahun atau perbatuan 12,000 km (mana-mana yang tiba dahulu). Jumlah tersebut meliputi insurans komprehensif untuk semua penunggang. Mahal? Tidak bagi mereka yang menghargai legasi dan jenama Vespa.
Vespa menjadi trend generasi muda dan eksekutif bandar. Senario penggunaannya semakin berubah. Jenama Vespa mula bangkit semula. Namun, apa yang pasti dirindu ialah bunyi klasik ekzos Vespa lama...ketang, ketang, ketang.

No comments:

Post a Comment