jokisenja header

jokisenja header

Tuesday, July 12, 2011

Cabaran teknikal menanti di Alor Setar


Para pelumba bersedia menghadapi cabaran teknikal di Alor Setar.
Selepas berehat panjang, setiap pasukan dan pelumba kini bersedia untuk kembali beraksi pada Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 yang akan berlangsung di Alor Setar, Kedah pada 22 dan 23 Julai ini.

Litar Alor Setar sebelum ini dijadualkan sebagai pembuka tirai musim 2011 pada Mac lepas sebagaimana dua musim sebelumnya namun terpaksa dipinda berikutan pelbagai program anjuran Kerajaan Negeri turut berlangsung pada tarikh yang sama.

Litar sepanjang 969 meter ini dijangka menjanjikan saingan sengit dan dipenuhi cabaran teknikal  berbanding lima pusingan sebelum ini di Kangar (Pusingan 1), Batu Kawan (Pusingan 2), Terengganu (Pusingan 3), Putrajaya (Pusingan 4) dan Teluk Intan (Pusingan 5) dengan adanya lima selekoh kanan, empat selekoh kiri dan satu pusingan U di sini.

Apa yang jelas, tempoh rehat selama tiga minggu sebelum ini memberikan lebih banyak masa buat pasukan melakukan ujian dan perubahan terhadap pelarasan jentera serta mengatur strategi perlumbaan.

Bagi pengurus pasukan Yamaha Maju Motor Racing, Yong Yin Hoe, dia percaya corak tunggangan yang lebih agresif dapat membantu pelumba untuk tampil cemerlang di litar ini. “Berdasarkan bentuk litar, saya jangkakan pelumba agresif mempunyai peluang lebih cerah untuk muncul juara di Alor Setar. Ini kerana litar ini mempunyai banyak selekoh dan pelumba sentiasa akan berada dalam kedudukan yang rapat. Hanya mereka yang agresif mempunyai peluang untuk ke hadapan, di bantu dengan pelarasan jentera yang mantap,” katanya.

Ketika Yong yin Hoe menekankan corak tunggangan agresif sebagai kunci utama kejayaan bagi pusingan akan datang, pengurus Harian Metro TEQ SCK Honda Racing, Soong Chee Kieong pula berpendapat perlumbaan minggu depan merupakan satu cabaran besar buat para-mekanik pasukan.

“Pusingan 6 ini bukan sekadar satu cabaran kepada pelumba malah buat mekanik pasukan juga. Kelajuan tinggi sangat diperlukan agar jentera dapat memecut keluar dari selekoh dengan pantas. Mereka juga perlu memastikan jentera dapat dikawal dengan baik. 

"Namun ini tidak bermaksud pelumba kelompok hadapan dapat meninggalkan lawan mereka di belakang dengan mudah, terutamanya di dalam kategori CP130 di mana kemampuan mereka tidak banyak berbeza. Ia banyak bergantung pada prestasi pelumba pada hari tersebut dan siapa mempunyai pelarasan jentera yang lebih mantap,” katanya.

Mendahului kedudukan CP130 ialah Norizman Ismail dari pasukan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing dengan 79 mata diikuti Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing) kedua dengan 52 mata dan rakan sepasukan Norizman, Mohd Affendi Rosli ketiga dengan 51 mata.

No comments:

Post a Comment