jokisenja header

jokisenja header


Sunday, March 27, 2011

Ramdan cipta kejutan

JUARA CP115 2010, Mohd. Ramdan Mohd Rosli (gambar) mencipta kejutan pada penampilan pertama dalam kategori CP130 apabila mencipta masa terpantas pada sesi ujian Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Stadium Utama Kangar, Perlis semalam.

Pelumba Petronas Syntium Moto AHM Yamaha itu mencatat masa 44.842 saat untuk mengatasi rakan sepasukan, Mohd. Zamri Baba yang berada di kedudukan kedua.
Mohd. Zamri ketinggalan 0.043s di belakang Mohd. Ramdan manakala pelumba TEQ SCK Honda Racing mencatat masa 44.895s (ketiga).
Keputusan itu meletakkan Mohd. Ramdan, 15, sebagai pelumba terakhir daripada 10 pelumba yang akan beraksi pada pusingan SuperPole yang pertama kali diperkenalkan pada musim ini.
"Banyak perubahan terpaksa saya lakukan untuk sesi ujian masa ini berbanding dengan latihan bebas pagi semalam. Sebagai pelumba senior, Zamri banyak membantu dengan memberi tunjuk ajar kepada saya. Saya gembira kerana kami dapat bekerjasama dengan begitu baik.
"Tentang SuperPole hari esok (hari ini), walaupun mencatat masa terpantas, ia tidak banyak membantu saya. Sesiapa sahaja berpeluang untuk berada di petak pertama tetapi saya tetap akan cuba yang terbaik untuk berada sekurang-kurangnya di kedudukan tiga terbaik," jelasnya.
Saingan kategori CP115 menyaksikan Shahril Izzuwan Mohd. Noor dari pasukan Petronas Syntium Moto AHM Yamaha mencatat masa terpantas dengan catatan 44.409s menewaskan dua pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing, Mohd. Adli Salihin dan Mohd. Azhar Abd Jalil.
Mohd. Adli mencipta masa kedua terpantas dengan catatan 44.784s manakala rakannya, Mohd. Azhar di kedudukan ketiga, hanya ketinggalan 0.114s.
Bagi pelumba Petronas Syntium Moto AHM Yamaha itu, walaupun berjaya mencipta masa yang lebih baik berbanding Mohd. Adli dan Mohd. Azhar, kedua-dua pelumba itu mungkin mampu menggagalkan hasratnya untuk bergelar juara.
"Kedua-dua pelumba ini merupakan pesaing utama saya kerana mereka cukup berpengalaman dalam kategori CP115, tetapi saya yakin mampu berada di kelompok tiga pelumba terbaik pada perlumbaan sebenar nanti.
Sementara itu dalam kategori Wira, Mohd Adib Rosley dari pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing melaungkan amaran awal apabila dia menegaskan tidak akan melepaskan takhta juara miliknya tahun lalu dengan mudah.

No comments:

Post a Comment