jokisenja header

jokisenja header

Thursday, March 24, 2011

GILIRAN SIAPA PULA TAKLUKI GELARAN CP115




Setiap orang mempunyai ramalan mereka sendiri siapa bakal menakluki musim 2011 namun perlumbaan bukanlah sesuatu yang mudah diduga. Lihat sahaja musim lalu, ramai yang menjangkakan pelumba-pelumba berpengalaman seperti Mohd Iskandar Raduan dan Mohd Adli Salihin akan menguasai Kejuaraan namun pelumba muda, Mohd Ramdan Mohd Rosli mencuri perhatian dengan meraih gelaran juara keseluruhan CP115 2010.

Musim ini, Ramdan tidak akan mempertahankan gelarannya sebaliknya akan bersaing dalam kategori CP130. Selain Ramdan, Mohd Iskandar Raduan yang menamatkan musim lalu di kedudukan ketiga keseluruhan, Mohd Farid Ahmad (12), Elly Idzliakmail Ilias (21) dan Ridwan Bakri (24) turut berpindah ke kategori CP130.

Dengan ketiadaan beberapa pelumba ini, pelumba-pelumba Motul Yamaha YY Pang, Mohd Rozaiman Mohd Said, Mohd Adli Salihin, Zaidy Mohd Zaifaizal dan Azhar Abdul Jalil dilihat sebagai calon utama untuk bergelar juara.

Tetapi ini hanya satu jangkaan awal.

Kebanyakan pelumba yang berada dalam senarai 15 terbaik musim lalu masih kekal beraksi. Shahril Izzuwan Mohd Noor, Mohd Rozaliman Zakaria, Mohd Hafieenaz Mohd Ali, Mohd Firdaus Musa, Ahmad Abdul Kadir, Abdul Haffiz Rashid dan Sasitharen Sukumaran akan berusaha meraih kemenangan musim ini.

Selain itu, ramai pelumba-pelumba muda sudah bersedia menempuhi cabaran CP115. Pelumba kelas Wira seperti Azhar, Mohd Fitri Ashraf Razali dan Mohd Syawalludin Mohd Zaki akan membuat penampilan sulung mereka musim ini. Tidak ketinggalan, juara Cabaran Yamaha 135LC 2010, Tengku Amirul Haffiruddin dan pelumba Honda icon, Mohd Afiq Rahmat juga akan bersama-sama menempuhi cabaran CP115.

Kehadiran pelumba baru dan lama ini sudah tentunya akan menjadikan saingan musim 2011 ini menjadi lebih menarik dan sukar dijangka. Tidak dilupakan, Mohd Emir Firdaus Hassan yang bersaing dalam kategori utama selama dua tahun akan kembali menghangatkan perebutan takhta CP115.

Dengan 34 pelumba bakal membawa cabaran pasukan masing-masing, jumlah ini dijangka akan bertambah dengan kehadiran pelumba-pelumba persendirian. Tidak kira 34 ataupun 40 pelumba yang beraksi, hanya seorang pelumba akan bergelar juara dan peluang itu kini terbuka kepada semua.

Bagi mereka yang inginkan takhta kejuaraan sudah tentu tidak hanya bergantung harap kepada nasib ataupun jentera sahaja, tetapi turut memerlukan keinginan yang tinggi, semangat juang, kekuatan mental dan fizikal serta strategi perlumbaan yang turut memainkan peranan penting.

No comments:

Post a Comment