jokisenja header

jokisenja header


Thursday, March 24, 2011

Kehadiran Azlan beri keyakinan

KEHADIRAN Azlan Shah Kamaruzaman memberi keyakinan kepada pengurus pasukan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing, Soong Chee Keiong untuk menembus kehampaan tahun lalu.
Selepas gagal pada percubaan pertama tahun lalu selepas Norizman Ismail tewas kepada juara muda dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Raceline, Hafizh Syahrin Abdullah dengan hanya empat mata, Chee Keiong menanam misi untuk membalas dendam bagi bergelar juara buat pertama kali bersama Honda.

Honda yang membuat penampilan kedua mereka di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 tampil dengan jentera baru iaitu Wave RS 110 selepas menggunakan Wave 125X tahun lalu.
Chee Keiong berkata, beliau bersama barisan pelumbanya akan cuba menebus kekalahan tahun lalu dengan penyelarasan jentera yang lebih mantap bersama barisan pelumba berpengalaman yang dibarisi Norizman, Mohd Affendi Rosli dan Azlan dalam acara CP130.

“Kehadiran Azlan memberi keyakinan kepada saya. Inilah masanya buat Azlan untuk mencuba jentera baru selepas lama bersama Yamaha. “Selepas tiga bulan mencuba, Honda tahun ini lebih bagus dan saya yakin kami dapat mencari penyelarasan terbaik menjelang perlumbaan pertama,” katanya selepas majlis ringkas pelancaran pasukan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing di Balai Berita, semalam.

Biarpun pertukaran jentera dilakukan, barisan tiga pelumba Chee Keiong itu tetap yakin dengan teknologi baru Honda.

Mengulas kejayaan Norizman muncul naib juara berbanding Affendi yang menduduki tempat kesembilan, Chee Keiong berkata, tiada perbezaan antara mereka dan setiap pelumba akan diberi penyelarasan sama namun cara menunggang seseorang pelumba itu memainkan peranan utama.

No comments:

Post a Comment