jokisenja header

jokisenja header


Thursday, March 17, 2011

CUB PRIX MELANGKAH MASUK MUSIM 2011 DENGAN LEBIH BANYAK PASUKAN


Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS meneruskan kecemerlangannya sebagai siri perlumbaan dua roda utama negara  bersempena dengan pelancaran musim 2011 di Kuala Lumpur, hari ini.

Memasuki musim ke-18, tahun ini bakal menyajikan saingan yang lebih kompetitif dengan 27 pasukan mengesahkan kehadiran mereka dalam kategori CP130, CP115 dan Wira.

Jumlah ini merupakan penyertaan terbanyak pasukan-pasukan yang pernah menyertai Kejuaraan ini berbanding hanya 21 pasukan di paddock tahun lalu.

Sekaligus  jumlah para pelumba turut meningkat. Setakat ini seramai 83 pelumba gabungan muka baru dan lama akan beraksi mewakili pasukan masing-masing di perlumbaan pembuka tirai di Kangar, Perlis pada 26 dan 27 Mac ini. Jumlah ini tidak termasuk penyertaan peserta persendirian, perlumbaan one make race Yamaha dan Honda yang dijangka turut akan meningkat pada tahun ini.

Gembira dengan perkembangan dan pembangunan sukan Cub Prix, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), Ron Hogg mengalu-alukan kedatangan pelumba-pelumba baru sambil menyifatkan kehadiran lebih banyak pasukan di paddock musim ini akan dapat meningkatkan prestasi pelumba-pelumba. Dia turut menegaskan Cub Prix masih jauh daripada mencapai sasarannya.

"Tahun 2010 merupakan tahun yang begitu cemerlang dengan kehadiran Juara muda seperti pelumba berusia 16 tahun, Hafizh Syahrin Abdullah (CP130), Mohd Ramdan Mohd Rosli, 14, (CP115) dan Mohd Adib Rosley, 16 (Wira) yang menguasai dan mencipta pelbagai rekod ketika beraksi di dalam kelas open-make. Namun begitu, ini hanya sebahagian kecil daripada matlamat utama Cub Prix iaitu untuk melipat-gandakan bilangan pelumba seperti ini.Sebaliknya, ini merupakan langkah permulaan sebelum Cub Prix boleh merealisasikan objektifnya."

Ron turut menambah, "Pada ketika ini kami berada di landasan yang tepat apabila setiap tahun kita dapat lihat pelumba-pelumba muda sekitar usia 13 tahun membuat kemunculan di atas grid ekoran pengenalan kelas Wira pada tahun 2002.

"Selagi kami terus bekerja keras meneruskan usaha ini, kami yakin dapat melahirkan lebih ramai pelumba-pelumba berbakat daripada Kejuaraan ini," katanya.

Ron juga berterima kasih kepada rakan-rakan korporat yang terus menunjukkan minat mereka terhadap kejuaraan ini.

"Semua ini mustahil untuk dicapai tanpa bantuan semua pihak yang terbabit. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penaja utama, PETRONAS dan rakan-rakan korporat yang berkongsi kepercayaan Malaysia mempunyai ramai bakat di dalam sukan permotoran ini.

"Dan dengan adanya landasan yang betul seperti Cub Prix dan Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) kami boleh membantu mengetengahkan pelumba ini untuk pergi lebih jauh," jelas Ron.

*Lawati galeri kami untuk melihat gambar dari pelancaran tersebut

No comments:

Post a Comment