jokisenja header

jokisenja header

Monday, March 28, 2011

Kejayaan berganda Ramdan




RAMDAN (tengah), Zamri (kiri) dan Zaqhwan memegang trofi masing-masing selepas tamat perlumbaan di Kangar semalam.


USIA muda tidak menghalang Mohd. Ramdan Mohd. Rosli menewaskan pelumba-pelumba lebih berpengalaman untuk muncul juara kategori CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 di Stadium Utama Kangar, Perlis semalam.
Lebih manis, kemenangan pada pusingan pertama itu membolehkan Ramdan, 15, memadam rekod Hafizh Syahrin Abdullah sebagai juara termuda kategori CP130.
Tahun lalu, Hafizh berjaya melakukannya pada pusingan keenam di Teluk Intan, Perak ketika berusia 16 tahun.
Ramdan juga bagaikan sudah bersedia untuk sekali lagi memadamkan nama Hafizh yang mencipta rekod sebagai juara dua kategori secara berturut-turut ketika memenangi CP115 pada 2009 dan CP130 (2010) ketika nama Hafizh tidak berada dalam kalendar kejuaraan tahun ini kerana memberi tumpuan penuh terhadap perlumbaan SuperSports 600cc.
Ramdan menamatkan perlumbaan semalam dengan catatan masa 10 minit 53.301 saat bagi menewaskan rakan sepasukannya, Mohd. Zamri Baba di kedudukan kedua (10:55.203s) manakala pelumba Pachie Yuzy Honda Racing, Mohd. Zaqhwan Zaidi di tempat ketiga (10:59.292s ).
"Saya begitu berterima kasih kepada Zamri kerana banyak memberi tunjuk ajar terutama bagaimana untuk mengambil selekoh dengan lebih baik.
"Zamri cukup berpengalaman berbanding saya, di bahagian selekoh memang dia mempunyai kelebihan berbanding saya, jadi saya gunakan kelebihan di jalan lurus untuk mengatasinya," jelas Ramdan yang juga juara kelas CP115 tahun lalu.
Kemenangan 1-2 itu meletakkan pasukan Petronas Syntium Moto AHM Yamaha mendahului kedudukan Anugerah Berpasukan dengan mengumpul 45 mata.
Pasukan Pachie Yuzy Honda Racing di kedudukan kedua dengan 25 mata dan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing ketiga mengumpul 23 mata.
Pada saingan CP115 sebelum itu, rakan sepasukan Ramdan, Shahril Izzuwan Mohd. Noor turut bergelar juara dengan mengetepikan saingan dua pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing, Mohd. Adli Salihin dan Zaidy Mohd. Zaifaizal.
Shahril, 23, menamatkan perlumbaan dengan catatan 8:55.285s manakala Adli (8:57.840s) dan Zaidy (9:01.002s).
Bagaimanapun, Shahril yang memulakan perlumbaan di petak pertama, ketinggalan kepada Zaidy di peringkat awal perlumbaan.
Namun kesilapan yang dilakukan lawannya itu pada selekoh kelima, membolehkan Shahril kembali mendahului pelumba-pelumba yang lain sehingga menuju ke garisan penamat.
"Saya cukup berpuas hati dengan perlumbaan hari ini (semalam) termasuk jentera saya dalam keadaan baik.
"Cuma saya bermula agak perlahan menyebabkan ketinggalan kepada Zaidy di peringkat awal perlumbaan sebelum berjaya memintasnya.
"Kemenangan di pusingan pertama ini dapat menaikkan semangat saya untuk terus mencipta kemenangan di pusingan berikutnya," jelas Shahril.
Dalam kategori Wira Bawah 17 tahun, Mohd. Hafiza Rofa dari pasukan Faito YSP Racing muncul juara setelah menamatkan perlumbaan dengan catatan 7:41.832s.
Dia menewaskan Nurahmad Fariznazreen dari pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing (7:42.279s) di tempat kedua manakala pelumba MOS Malaysia Racing, Zulsyafiz Rosli di tangga ketiga (7:42.689s).
Pusingan kedua akan berlangsung di Batu Kawan, Pulau Pinang pada 16 dan 17 April depan.

No comments:

Post a Comment