jokisenja header

jokisenja header


Monday, March 21, 2011

Debaran Kian Panas


DEBARAN kini dapat dirasakan para pelumba dan pasukan di paddock apabila tinggal hanya enam hari lagi sebelum pusingan pembuka tirai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 berlangsung di Kangar, Perlis, hujung minggu ini.
Pusingan pertama musim 2011 ini dijangka menarik kerana ia menandakan kepulangan Perlis selaku tuan rumah apabila ia tidak disenaraikan dalam kalendar perlumbaan musim lalu.

Tambahan lagi, saingan hujung minggu ini kali pertama Kangar memainkan peranan sebagai hos pembuka musim sepanjang 12 tahun begelar venue Cub Prix.
Lebih menarik, litar 940.8 meter ini sering dianggap sebagai salah satu litar teknikal dan pelumba terakhir mendominasi trek ini adalah Ahmad Fuad Baharudin (Yamaha Maju Motor Racing).

Pelumba veteran itu muncul juara pada saingan Expert 2009. Sementara itu, juara CP130 2010, Hafizh Syahrin Abdullah turut cemerlang dan bergelar juara keseluruhan kategori Novis di sini pada tahun sama.

Ahmad Fazli Sham yang memenangi makhota Expert dua kali memegang rekod sepusingan terpantas, 23.242 saat dengan purata kelajuan, 76.196 kmj di atas litar tujuh selekoh itu.
Fazli yang baru beralih ke pasukan baru, Pennzoil Fastrac Racing Team bersama adiknya, Ahmad Fazrul Sham gembira penganjur memutuskan membawa masuk Kangar dalam senarai venue musim ini.

“Musim lalu saingan kurang lengkap tanpa kehadiran Kangar dan saya bersemangat apabila penganjur mengumumkan bakal menjadi hos pembuka musim ini. Ia pasti menarik dengan kehadiran lebih banyak pasukan selain tiada siapa tahu momentum mahupun kekuatan lawan,” ujar Fazli.

Pelumba berusia 29 tahun itu turut berkongsi pendapatnya mengenai litar itu dan berkata: “Jika hanya peta menjadi rujukan, litar Kangar ini nampak senang untuk ditawan. Tapi realiti tidak begitu mudah. Sebaliknya, trek ini agak teknikal dengan dua selekoh kiri, lima selekoh kanan, laluan lurus sepanjang 323 meter dan agak sempit untuk memintas. Pada pendapat saya, selain enjin yang diselaraskan dengan baik, pelumba perlu memberi tumpuan terhadap keberkesanan suspensi jentera di sini,” ujar Fazli.

Ditanya sama ada pelumba akan menghadapi masalah selepas setahun tidak beraksi di Kangar, Fazli menjelaskan: “Pelumba senior sentiasa bersedia menghadapi cabaran baru dan kepulangan ke Kangar bukan masalah besar bagi kami. “Bagaimanapun, hujung minggu ini mungkin lebih sukar untuk pelumba muda dan baru yang menyertai siri Cub Prix ini.”

No comments:

Post a Comment