jokisenja header

jokisenja header


Friday, March 11, 2011

CKJ & SUKIMI BERGABUNG TENAGA


Seandainya penghijrahan pelumba ke pasukan lain adalah senario yang biasa dilihat menjelang setiap saingan musim baru, berbeza pula bagi pasukan CKJ Racing dan pasukan Sukimi Racing yang mengambil langkah berbeza bergabung tenaga bagi menghadapi cabaran Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2011.

Dengan imej serta nama baru, Yamaha CKJ Sukimi, pasukan ini akan dikendalikan pengurus pasukan, Mohd Azmi Mansor sementara bekas pengurus pasukan CKJ sebelum ini, Che Ku Jonaidi memerhati perkembangan pasukan selaku pemilik pasukan.

Azmi menjelaskan langkah pergabungan itu dilihat sebagai langkah positif memandangkan kedua-dua pihak memiliki objektif yang sama dan kombinasi tersebut boleh membantu mereka mencapai sasaran itu dengan lebih cepat. Dalam pada itu, kerjasama ini juga membolehkan pasukan beroperasi dengan lebih lancar kerana struktur kewangannya lebih kukuh dan stabil.

Pasukan ini membariskan empat pelumba muda. Mohd Syawalludin Mohd Zaki dan Mohd Haiekal Akmal Zakaria akan beraksi dalam kategori CP115 sementara Ahmad Afif Amran dan Che Ku Amriq Asyraff Che Ku Jonaidi memikul cabaran kategori Wira.

"Gabungan ini merupakan satu langkah bijak bagi kami bukan sahaja atas sebab kedua-dua pasukan berpangkalan di Pantai Timur Malaysia tetapi dengan persetujuan ini, kedudukan kewangan pasukan akan menjadi lebih kukuh. Ini sekaligus memberikan peluang untuk kami melakukan lebih banyak sesi latihan, memperuntukkan bajet lebih besar untuk membeli bahan-ganti selain memastikan segala urusan logistik pasukan berjalan dengan lancar. Secara keseluruhan, ia akan dapat membantu kami mencapai objektif untuk bergelar salah satu pasukan terkuat di paddock Cub Prix dengan lebih cepat," jelas Azmi.

Dalam pada itu, Azmi turut melahirkan keyakinan bahawa pasukan ini menampakkan peningkatan yang cukup ketara selepas pergabungan itu.

"Kami telah berkerja keras sejak beberapa bulan lepas dan kini tidak sabar untuk membuktikan hasil kerja pada saingan pembuka tirai di Kangar, Perlis hujung bulan ini. Pelumba kami juga sentiasa memastikan mereka berada pada tahap terbaik dari segi fizikal mahupun skil perlumbaan setiap kali sesi latihan.

"Bukan itu sahaja, mekanik kami juga turut berkerja keras mencari penyelarasan terbaik untuk semua jentera pelumba. Andai momentum ini berterusan, tiada sebab kami tidak mampu melangkah lebih jauh dalam Kejuaraan Cub Prix ini."

Bercakap mengenai sasaran pasukan, Azmi berkeyakinan tinggi bahawa pelumba Wira bimbingannya mampu mencapai kedudukan tiga tempat teratas sementara Syawal dan Haiekal masih perlu berkerja keras untuk mencipta kedudukan lima tempat terbaik.

"Kami menyandarkan harapan tinggi ke atas Afif Amran dan Che Ku Asyraff kerana sebelum ini pernah berlumba dalam kategori Wira dan menamatkan musim di tempat keenam dan 12 masing-masing.  Pengalaman mereka sememangnya melipat-gandakan peluang untuk meraih sasaran yang ditetapkan. Tambahan pula, ketiadaan pencabar kuat seperti Mohd Fitri Ashraf Razali (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) dan Mohd Azhar Abdul Jalil (Motul Yamaha YY Pang) yang beralih ke saingan CP115 turut memberikan mereka kelebihan."

Menurut Azmi lagi, "Dalam masa pada itu, kami juga turut meletakkan sasaran kedudukan lima tempat teratas bagi kategori CP115. Sekalipun Syawal menamatkan musim 2010 di tempat ketiga, dia tidak boleh lalai dalam saingan musim ini kerana kelas ini jauh lebih sukar dan kompetitif. Sementara itu, Haiekal yang beraksi dalam kelas Persendirian musim lepas, harus berkerja lebih keras juga," jelas Azmi.

No comments:

Post a Comment