jokisenja header

jokisenja header

Thursday, March 24, 2011

Norizman jadi sumber inspirasi

KEMUNCULAN Norizman Ismail di tangga kedua keseluruhan kategori Perdana CP130 musim lalu memberi inspirasi buat Harian Metro TEQ SCK Honda Racing Team untuk terus mencabar kelibat lawan dalam misi memburu juara mutlak di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011, bermula hujung minggu ini.
Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Datuk Mustapa Omar berkata, skuad dibarisi empat pelumba termasuk Norizman, Mohd Affendi Rosli, Azlan Shah Kamaruzaman dan Mohd Fitri Ashraf Razali berada di landasan tepat untuk bergelar juara keseluruhan sekali gus menggegarkan dunia pemotoran negara.

“Tahun lalu, Norizman menduduki tempat kedua, ketinggalan hanya empat mata dari juara, maka tahun ini, disokong dengan jentera Honda serba baru yang dipertingkatkan, saya percaya peluang memburu kejuaraan lebih terbuka.
“Saya yakin dengan kemampuan pasukan ini kerana mereka kini sudah mula mendapat rentak masing-masing berbanding kali pertama berentap di kejuaraan musim lalu bersama Honda,” katanya ketika Majlis Pelancaran Harian Metro TEQ SCK Honda Racing Team di Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad, semalam.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, kehadiran dua muka baru iaitu Azlan Shah dan Md Fitri serta pengalaman dimiliki, mereka mampu menghidangkan ramuan terbaik buat pasukan merealisasikan sasaran musim ini.

“Didorong kejayaan dilakar Norizman, kami optimis untuk memburu setiap kemenangan membabitkan 10 pusingan bermula dengan Kangar, Perlis, Sabtu ini,” katanya.

Selain aksi pembuka tirai di Kangar, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 akan disusuli dengan Kuala Terengganu, Terengganu pada 15 dan 16 April serta Pusingan 3 di Batu Kawan, Pulau Pinang (14 dan 15 Mei). Pusingan 4 masih belum ditentukan tetapi Pusingan 5 akan berlangsung di Teluk Intan, Perak pada 24 dan 25 Jun.

Pusingan berikutnya berlangsung pada 22-23 Julai (Alor Setar), Pusingan 7, 24-25 September (Kluang), Pusingan 8, 29-30 Oktober (Melaka), Pusingan 9, 12-13 November (Sepang) dan Pusingan 10, 3-4 Disember (Pulau Pinang).

No comments:

Post a Comment