jokisenja header

jokisenja header

Tuesday, March 29, 2011

Batu Kawan ambil-alih tugas hos pusingan kedua



Pusingan kedua Petronas AAM Malaysian Cup Prix akan diadakan di Batu Kawan, Pulau Pinang berbanding jadual asal di Kuala Terengganu.

KUALA LUMPUR- Sebagai penghormatan kepada tempoh berkabung selama 40 hari berikutan kemangkatan bonda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Ampuan Bariah al- Marhum Sultan Hishamuddin Alam Shah al-Haj minggu lalu, Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS  2011 dipindahkan ke Batu Kawan berbanding lokasi asal di Kuala Terengganu.

Pengumuman yang di buat oleh Promoter Kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) menyaksikan tarikh asal Pusingan 2 pada 15 dan 16 April (Jumaat dan Sabtu) dianjakkan kepada 16 dan 17 April (Sabtu dan Ahad). 

Sementara itu, Kuala Terengganu akan menjadi gelanggang bagi Pusingan 3 pada 13 dan 14 Mei depan manakala tiada perubahan bagi venue-venue lain di dalam kalendar perlumbaan musim ini.

Pengarah Promosi SAM, Ron Hogg berterima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana bersedia menerima perubahan mengejut ini. 

“Kerajaan Negeri Terengganu meminta kami menangguhkan Pusingan 2 ekoran sebab yang tidak dapat dielakkan dan bagi pihak penganjur serta rakan-rakan korporat Kejuaraan Cub Prix, saya begitu berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana meluluskan permohonan kami untuk membawa Cub Prix ke Pulau Pinang lebih awal daripada apa yang dirancangkan,” ujarnya.

Bercakap mengenai impak perubahan ini ke atas kontinjen Cub Prix,  Ron berkata, “Setakat ini kami belum menerima sebarang bantahan ataupun rungutan daripada mana-mana pasukan memandangkan perlumbaan itu berlangsung pada minggu yang sama, cuma dilewatkan sehari sahaja. 

Namun ia mungkin memberi kesan kepada peserta-peserta kategori Persendirian di Pulau Pinang memandangkan mereka perlu melakukan persediaan lebih awal."

Dalam pada itu, Ron mengingatkan pelumba kelas Persendirian untuk mendaftar awal kerana pada waktu ini grid kelas kos-rendah ini sudah hampir penuh di mana pusingan lepas menyaksikan 34 pelumba mengambil bahagian. Angka ini dijangka meningkat pada Pusingan 2 dan grid kategori ini hanya boleh menampung 48 pelumba sahaja.

Tambah Ron lagi, “ Di sebalik semua perubahan yang dilakukan, kami menjangkakan perlumbaan di Batu Kawan ini akan menjadi satu perlumbaan yang begitu menarik. 

Bukan hanya kerana persaingan hangat diantara pelumba-pelumba, malah permukaan litar ini turut sudah diperbaharui dan ini tentu akan merancakkan lagi keadaan."

No comments:

Post a Comment