jokisenja header

jokisenja header

Saturday, March 26, 2011

RAMDAN CIPTA KEJUTAN MUNCUL PELUMBA TERPANTAS CP130





JUARA CP115 2010, Mohd Ramdan Mohd Rosli mencipta kejutan walaupun pertama kali beraksi apabila mencipta masa terpantas kategori CP130 pada sesi ujian masa Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Stadium Utama Kangar, Perlis, semalam.  Pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM Racing itu mencatatkan kepantasan 44.842s untuk mengatasi rakan sepasukan, Mohd Zamri Baba yang berada di kedudukan kedua. Zamri ketinggalan 0.043s di belakang Ramdan manakala pelumba Harian Metro TEQ SCK Honda Racing, Norizman Ismail mencatatkan 44.895s untuk berada di kedudukan ketiga.
Keputusan itu meletakkan Mohd Ramdan, 15, sebagai pelumba terakhir daripada 10 pelumba yang akan beraksi pada pusingan SuperPole yang pertama kali diperkenalkan pada musim ini.
"Banyak perubahan terpaksa saya lakukan untuk sesi ujian masa ini berbanding dengan latihan bebas pagi tadi (semalam). Sebagai pelumba senior, Zamri banyak membantu dengan memberi tunjuk ajar kepada saya. Saya gembira kerana kami dapat bekerjasama dengan begitu baik.
"Tentang SuperPole hari esok (hari ini), walaupun mencatat masa terpantas, ia tidak banyak membantu saya. Sesiapa sahaja berpeluang untuk berada di petak pertama tetapi saya tetap akan cuba yang terbaik untuk berada sekurang-kurangnya di kedudukan tiga terbaik," jelasnya.
Saingan kategori CP115 pula menyaksikan Shahril Izzuwan Mohd Noor dari pasukan PETRONAS Syntium Moto AHM Yamaha mencipta masa terpantas dengan catatan 44.409s menewaskan dua pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing, Mohd Adli Salihin dan Mohd Azhar Abd Jalil.
Adli mencipta masa kedua terpantas dengan catatan 44.784s manakala rakannya, Mohd Azhar di kedudkan ketiga, hanya ketinggalan 0.114s di belakang.
Bagi pelumba PETRONAS Syntium Moto AHM Yamaha itu, walaupun berjaya mencipta masa yang lebih baik berbanding Adli dan Azhar, kedua-dua pelumba itu mungkin mampu menggagalkan hasratnya untuk bergelar juara pada pusingan pembukaan ini.
"Kedua-dua pelumba ini merupakan pesaing utama saya kerana mereka cukup berpengalaman dalam kategori CP115, tetapi saya yakin mampu berada di kelompok tiga pelumba terbaik pada perlumbaan sebenar nanti.
"Setakat ini, saya cukup berpuas hati dengan jentera saya dan juga catatan masa yang dilakukan, jika keadaan litar esok kering, saya yakin dapat mencipta masa yang lebih baik," jelasnya.
Sementara itu dalam kategori Wira, Mohd Adib Rosley dari pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing melaungkan amaran awal kepada pelumba-pelumba lain di mana beliau tidak akan melepaskan takhta juara miliknya tahun lalu dengan mudah.
Adib yang sudah beraksi dalam kelas ini sejak tahun 2008 menjadi pelumba tunggal mencatat masa di bawah 46 saat apabila mencipta masa terpantas 45.946s mengatasi Mohd Amin Mohd Azahar (MOS Malaysia Racing) yang mencatat masa kedua terpantas, 46.352s  dan Mohd Hafiza Rofa (Faito YSP Racing) ketiga terpantas dengan catatan masa 46.787s.
"Sesi ujian masa hari ini agak mencabar akibat keadaan litar yang licin, saya juga terjatuh apabila gagal mengelak minyak yang tumpah di atas jalan, namun mujur mekanik saya dapat membetulkan kerosakan dengan cepat untuk saya meneruskan perlumbaan dan berjaya mencatat masa terpantas selepas itu di pusingan ke-11.
"Perlumbaan esok (hari ini) saya lihat Amin dan Zulsyafiz Rosli mampu menghalang hasrat saya untuk muncul juara di sini, tetapi saya yakin dapat sekurang-kurangnya mencapai keputusan podium," katanya.
Dalam saingan Honda one-make race Honda Wave Junior, Mohd Amir Syafiq Abd Rahman mencipta catatan terpantas menewaskan Mohd Zulfakri Rosli di kedudukan kedua dan Mohd Amirul Iqbal Mohd Rafidon ketiga.
Amir melakukan catatan 50.038s, hanya 0.34s di hadapan Zulfakri sementara Amirul mencatatkan 50.143s.
Saingan kategori Persendirian, Wazir Abd Razak mencipta masa terpantas dengan catatan 47.423s menewaskan Mohd Rizuan Marzuki di kedudukan kedua yang melakukan catatan 47.693s. Zulfaqar Mohd Salleh pula berada di kedudukan ketiga dengan catatan masa 47.793s.
Peminat-peminat jangan lepaskan peluang menyaksikan perlumbaan akhir bermula pada 1.35 petang di Stadium Utama Kangar, Perlis hari ini. 

No comments:

Post a Comment