jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, April 25, 2012

ADIK BERADIK ELLY OPTIMIS JULANG KEJAYAAN BUAT SUZUKI




Gandingan adik beradik, Elly Idzlianizar Ilias dan Elly Idzliaikmal Ilias optimis mereka mampu menjulang kejayaan buat Suzuki dalam kategori CP130 dan CP115 pada perlumbaan pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang akan berlangsung di Stadium Utama Kangar, Perlis, minggu ini.

Beraksi bersama pasukan tunggal yang mendapat sokongan Suzuki iaitu pasukan Suzuki FortyOne Racing, kedua-duanya juga mahu menggunakan kelebihan beraksi di halaman sendiri minggu ini untuk tidak mengecewakan keluarga, rakan-rakan dan juga peminat-peminat yang hadir memberikan sokongan.

Elly Idzlianizar Ilias yang beraksi dalam kategori CP130 dilihat mengalami kesukaran pada dua pusingan yang telah berlangsung apabila dia gagal menamatkan perlumbaan di Batu Kawan (Pusingan 1) setelah jenteranya mengalami masalah mekanikal sewaktu perlumbaan akhir.

Ketika di Kuala Terengganu (Pusingan 2) pula, walaupun berada di kelompok lima pelumba yang mencatat masa terpantas sewaktu sesi latihan bebas, kerja keras Elly turut berakhir dengan kekecewaan apabila sekadar menamatkan perlumban di kedudukan ke-15 berikutan kemalangan bersama pelumba Pachie Yuzy Honda Racing, Wan Mohd Hadri Wan Mokhtar.

Berkeyakinan tinggi kali ini, Elly Idzlianizar berkata, "Dua pusingan sebelum ini begitu mencabar. Selepas gagal menamatkan perlumbaan Pusingan 1, kami telah menunjukkan peningkatan sewaktu sesi latihan bebas di Kuala Terengganu namun ia tidak berpanjangan apabila sekali lagi ditimpa kekecewaan  ketika sesi ujian masa dan juga perlumbaan akhir. Permulaan musim seperti ini sangat-sangat menyedihkan namun ini senario biasa dalam perlumbaan. Apa yang penting adalah tidak mudah berputus asa dan sentiasa memandang ke hadapan," katanya.

Bercakap tentang kemampuan jentera Suzuki, Elly berkata, "Buat masa ini, jentera kami cukup kompetitif memandangkan saya mampu menempatkan diri di kalangan lima pelumba terpantas pada sesi latihan bebas sebelum ini. Apa yang perlu diperbaiki ialah gaya tunggangan saya dan pada masa sama juga perlu berhati-hati terhadap kemampuan lawan-lawan saya. Tambahan pula, kami turut memikul tanggungjawab untuk mengembalikan semula kegemilangan Suzuki sepertimana yang pernah dikecapi oleh legenda Cub Prix, M. Meganathan dan Wazi Abdul Hamid pada masa lalu.

Sementara itu, adiknya, Elly Idzliaikmal yang beraksi dalam kategori CP115 pula bermula dengan agak baik apabila menamatkan perlumbaan di Batu Kawan dengan menduduki tangga kelapan namun ketika perlumbaan di Kuala Terengganu, dia sekadar menamatkan perlumbaan seawal pusingan pertama lagi.

Malah, dia turut mempunyai pendapat sama dengan abangnya. "Prestasi saya ketika ini masih jauh daripada kemampuan sebenar. Semua orang telah bekerja keras bagi memastikan Suzuki dapat mencatat kejayaan namun malangnya nasib kami masih belum begitu baik. Mudah-mudahan semuanya akan berubah di Kangar nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment