Pelumba muda CP130, Mohd Zaqhwan Zaidi mahu meneruskan rentak kemenangan apabila berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu bagi menghadapi pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012, hujung minggu ini.
Pelumba 17 tahun itu mahu membuktikan kemenangannya di Batu Kawan (Pusingan 1) bukan sekadar nasib setelah pendahulu, Ahmad Fazli Sham (Yamaha Maju Motor Racing) dan duo Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing, Azlan Shah Kamaruzaman serta Mohd Affendi Rosli terlibat dengan kemalangan manakala jentera pelumba veteran Ahmad Fuad Baharudin mengalami masalah teknikal ketika mendahului perlumbaan.
Sebaliknya pelumba Pachie Yuzy Honda Racing yang kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 25 mata menekankan kerja keras dan kesungguhannya menjadi faktor utama dia berjaya mencatat kemenangan pertama dalam kategori CP130 selepas membuat penampilan sulung musim lalu.
"Memang nasib menjadi antara penyumbang kepada kejayaan saya namun kemenangan ini bukan hanya bergantung kepada nasib sahaja. Sebaliknya, saya telah bekerja keras untuk sampai ke tahap ini. Sepanjang musim rehat, saya menjalani latihan secara konsisten bagi memastikan kecergasan saya berada di tahap terbaik dan turut mengkaji segala kesilapan dan kelemahan musim lepas bersama-sama pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini," katanya.
Dia kemudiannya menambah, "Pada masa sama, mekanik pasukan turut menjalankan tugas mereka dengan begitu baik sekali! Mereka menyediakan pelarasan jentera dengan lebih baik setelah belajar daripada masalah-masalah yang dialami musim lepas. Hasilnya, jentera Honda kami kini mampu bersaing dari semua aspek seperti kelajuan, ketahanan, pengendalian dan lain-lain lagi."
Selain itu, penglibatan remaja ini dalam perlumbaan SuperSports 600cc di Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS bersama pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing Malaysia turut membantu meningkatkan kemampuannya di atas jentera dua roda.
"Latihan SuperSports 600cc lebih mencabar kerana menggunakan jentera yang lebih besar dan berat. Namun saya percaya, masa yang digunakan untuk menunggang jentera CBR600RR banyak meningkatkan prestasi saya di atas jentera underbone. Jika dibandingkan dengan musim lepas, bukan hanya dari segi fizikal dan stamina saya lebih mantap, tetapi persediaan mental dan fokus saya juga bertambah baik."
Berada di belakang Zaqhwan dalam senarai keseluruhan ialah Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) dengan 20 mata diikuti Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) ketiga, 16 mata.
No comments:
Post a Comment