Persaingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 nampaknya semakin hangat apabila kem Honda dan Yamaha dilihat mendominasi kelas terbuka CP130 dan CP115 pada Pusingan 2 di Litar Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Terengganu hujung minggu lalu.
Dalam kategori CP130, kem Honda dilihat mempunyai kelebihan ketika ini dengan dua pelumba Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) dan Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing). Walaupun masih dikira pelumba baru, Zaqhwan mengejutkan ramai pihak apabila dia mendahului carta keseluruhan kategori perdana dengan kutipan 45 mata setelah berjaya memenangi Pusingan 1 (Batu Kawan) dan muncul tempat kedua pada Pusingan 2 (Terengganu).
Lebih menarik lagi, Azlan Shah yang menduduki tangga kedua juga mempunyai 45 mata setakat ini hasil kejayaannya menghabiskan pusingan pembuka di tangga kedua sebelum mempertahankan kemenangannya di litar teknikal Terengganu Sabtu lepas.
Sementara itu, Mohd Iskandar Raduan dilihat garang mengetuai carta keseluruhan CP115 selepas menghabiskan perlumbaan di Batu Kawan selaku juara dan Pusingan 2 di tempat kedua. Kepulangan Shahril Izzuwan Mohd Noor bagi mempertahankan makhota CP115 miliknya turut menjadikan duo PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM ini antara pesaing hebat musim ini.
Walaupun begitu, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), promoter Kejuaraan Cub Prix menganggap ia masih terlalu awal untuk meramal siapa bakal bergelar juara memandangkan musim 2012 masih di peringkat awal.
"Tidak dapat dinafikan Zaqhwan, Azlan dan Iskandar pada masa ini mempamerkan aksi cemerlang di dalam kelas masing-masing. Tetapi para peminat Cub Prix boleh menjangkakan persaingan lebih mantap pada pusingan-pusingan akan datang. Ini kerana kebanyakan pasukan yang berentap menunjukkan peningkatan ketara pada dua pusingan awal dengan masa sepusingan (lap) lebih pantas berbanding musim-musim lalu.
Ron turut menambah, "Tambahan pula, pada Pusingan 2 di Terengganu walaupun Azlan muncul juara, Ahmad Fazrul Sham (Faito Motobert Racing) menunjukkan aksi hebat untuk menungguli sesi SuperPole sekaligus merampas kedudukan petak hadapan dari para pesaingnya. Mohd Taufiq Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) juga tidak kurang cemerlang. Walaupun masih baru beraksi dalam kategori perdana ini, dia mampu mengecapi kedudukan podium sekaligus menunjukkan tiada pemenang tetap dalam persaingan musim ini. Sebaliknya, peluang terbuka luas bagi mana-mana pasukan dan semestinya persaingan akan lebih menarik apabila kontinjen Cub Prix berhijrah ke Kangar, Perlis bagi menghadapi Pusingan 3 dua minggu dari sekarang. Apa yang pasti, pengakhiran musim ini masih jauh dan saya pasti perebutan gelaran juara di antara pelumba dan pengeluar jentera pasti amat sengit sekali," jelas Ron lagi.
No comments:
Post a Comment