jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, April 25, 2012

AFIF TAGIH STRATEGI BERPASUKAN MANTAP




Ahmad Afif Amran percaya strategi berpasukan yang mantap mampu membantunya memecahkan momentum pelumba di barisan hadapan pada pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Stadium Utama Kangar, Perlis minggu ini.

Pelumba CKJ Yamaha Racing yang beraksi di dalam kategori CP115 itu bangkit menebus kekecewaan gagal ke perlumbaan akhir (DNF) sewaktu pusingan pembukaan (Batu Kawan) ekoran masalah mekanikal, apabila berjaya menaiki podium pada pusingan kedua (Terengganu) di belakang juara, Shahril Izzuwan Mohd Noor dan naib juara, Mohd Iskandar Raduan, kedua-duanya dari pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM. 

Namun, strategi berpasukan yang mantap diantara Shahril dan Iskandar telah menghalangnya untuk mencatat keputusan yang lebih baik.

"Kami mempamer prestasi cukup baik sewaktu di Terengganu! Saya dan rakan sepasukan, Mohd Farid Ahmad cuba untuk mengejar Shahril namun Iskandar yang berada di belakangnya berjaya mempertahankan Shahril dengan begitu baik sekali. Jika tidak kerana Iskandar, pasti kami berdua mampu merapatkan kedudukan dengan Shahril. Mujurlah tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sewaktu persaingan yang cukup agresif diantara kami bertiga untuk mengejar kedudukan podium dan saya cukup gembira kami berdua dapat berada di kelompok lima pelumba teratas terutama selepas kegagalan di Batu Kawan," jelas pelumba 16 tahun itu.

Menilai tentang kemampuan mereka pada pusingan ini, Afif berkata, "Prestasi pada dua pusingan lepas menunjukkan banyak peningkatan dan kami mampu untuk memberikan saingan, cuma kekurangan kami adalah dari segi strategi berpasukan. Saya dan Farid perlu menyusun strategi terbaik apabila tiba di Kangar nanti.

"Dari segi kemampuan jentera pula, Yamaha kami boleh dikatakan setanding dengan Shahril dan Iskandar, cuma faktor ketahanan enjin agak kurang apabila kuasanya menurun pada baki lima pusingan terakhir. Jika kami berjaya mengatasi masalah-masalah ini, saya fikir kami mempunyai peluang cerah untuk sekali lagi menaiki podium pada minggu ini."

Menambah lagi keyakinannya, Afif percaya pengalaman yang dikutip sepanjang beraksi dalam kategori Underbone 115cc, di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS  musim lalu turut menjadi satu kelebihan buatnya.

"Apa yang saya pelajari sepanjang beraksi di ARRC musim lepas bersaing dengan pelumba handalan Indonesia dapat digunakan pada musim ini untuk membantu meningkatkan kedudukan saya dalam senarai keseluruhan ketika ini," kata Afif yang menduduki tangga keenam dalam senarai keseluruhan dengan 16 mata.

Iskandar berada di kedudukan teratas dengan 45 mata diikuti Ahmad Abdul kadir (APIDO Yamaha Boon Kui Racing) kedua, dan Farid ketiga, kedua-duanya terikat dengan 26 mata.

No comments:

Post a Comment