jokisenja header

jokisenja header


Sunday, April 15, 2012

Azlan raih kemenangan bermakna

Penunggang bersaing sengit dalam Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Tiada apa yang lebih bermakna buat Azlan Shah Kamaruzaman apabila dia sekali lagi berjaya menakluk litar Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak buat kali kedua berturut-turut selepas berakhirnya Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012, hari ini.

Pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu menamatkan perlumbaan sebanyak 15 pusingan dengan catatan masa keseluruhan 10 minit 25.112 saat diikuti juara Pusingan 1 di Batu Kawan, Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) kedua, 10:25.345s dan Mohd Taufiq Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) ketiga, 10:26.866s.

Azlan yang bermula di petak ketiga mengakui litar ini merupakan antara litar kegemarannya dan dari segi persembahannya, jelas dia nampak cukup serasi beraksi di sini apabila sentiasa berada di kelompok  hadapan pada setiap sesi perlumbaan yang berlangsung sejak hari pertama lagi. “Kemenangan ini cukup-cukup bererti kepada saya kerana saya berjaya mempertahankan gelaran yang dimenangi pada perlumbaan musim lepas. Tambahan pula, ini juga merupakan satu hadiah istimewa kepada seluruh keluarga saya apabila saya juga bakal menimang cahaya mata sulung beberapa hari sahaja lagi,” jelas Azlan yang kini berkongsi kedudukan pendahulu bersama Zaqhwan dengan mengumpul 45 mata.

Bercakap tentang perlumbaan, Azlan berkata, “Selepas ketinggalan kepada Ahmad Fazrul Sham (Faito Motobert Racing) pada awal perlumbaan, saya terus memberi tekanan kepadanya dan akhirnya berjaya memintasnya pada pusingan ketujuh. Selepas itu saya cuba mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan dan akhirnya berjaya mengekalkan kedudukan pendahulu sehingga ke garisan penamat,” jelas Azlan sambil meletakkan sasaran untuk sekali lagi menaiki podium pada Pusingan 3 di Kangar, Perlis, hujung bulan ini.

Dalam senarai pelumba keseluruhan, kedudukan podium hari ini turut meletakkan Taufiq di tangga ketiga  dengan jumlah 23 mata yang dipungut setakat ini.

Dua kedudukan podium Azlan membantu pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2 (Azlan/Mohd Fitri Ashraf Razali) mendahului senarai keseluruhan dengan 51 mata, namun terikat dengan mata yang sama bersama-sama Pachie Yuzy Honda Racing (Zaqhwan/Wan Mohd Hadri Wan Mokhtar). Berada di kedudukan ketiga ialah Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 1 (Norizman Ismail/MOhd Affendi Rosli) dengan 39 mata.

Dalam kategori CP115, Shahril Izzuwan Mohd Nor membuktikan dirinya masih antara pencabar utama saingan musim 2012 apabila menamatkan perlumbaan 12 pusingan sebagai juara dengan catatan masa keseluruhan 8:33.558s.

Tambah manis, berada di tempat kedua ialah rakan sepasukannya dari pasukan PETRONAS syntium Moto Yamaha AHM, Mohd Iskandar Raduan. Iskandar yang juga juara pusingan lepas yang menamatkan perlumbaan dengan 8:33.889s manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba kelahiran Terengganu, Ahmad Afif Amran (CKJ Yamaha Racing), 8:35.232s.

Shahril yang kembali ke kategori CP115 selepas memulakan pusingan pembukaan musim 2012 dalam kategori CP130 berkata, “Beraksi semula dalam kategori CP115 pada pusingan kedua ini tidak memberi sebarang impak kepada saya sebaliknya sepertimana yang dirancang oleh pengurus pasukan, Kenny Chua, keputusan ini dilihat dapat mencerahkan peluang kami untuk mengekalkan kedua-dua anugerah keseluruhan yang dimenangi pada musim lepas,” jelas juara bertahan CP115 itu.

Mengulas mengenai cabaran sengit daripada Iskandar pada sepanjang perlumbaan, Shahril berkata, “Walaupun dari pasukan sama, kami tetap memberikan aksi terbaik kerana kedua-duanya mahu merebut kemenangan di sini. Namun kemenangan ini sangat penting kepada saya kerana ia membuka ruang bagi saya untuk mempertahankan gelaran musim lepas. Walaupun begitu, keutamaan tetap diberikan kepada strategi yang dirancang oleh pengurus pasukan. Jika selepas ini Iskandar kekal di tangga teratas, saya akan membantunya untuk memenangi gelaran individu keseluruhan,” jelas Shahril.

Gelaran naib juara meletakkan Iskandar jauh mendahului pelumba-pelumba lain apabila berada di tangga teratas dalam senarai keseluruhan dengan 45 mata manakala Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui) kedua, mengumpul 26 mata dan Mohd Farid Ahmad (CKJ Yamaha Racing) ketiga, juga dengan jumlah mata yang sama.

Selepas dua pusingan, PETRONAS syntium Moto Yamaha AHM berada di tangga teratas senarai Anugerah Berpasukan Keseluruhan dengan mengumpul 70 mata diikuti CKJ Yamaha Racing kedua, 42 mata dan Motul Yamaha Racing Team 2 (Zaidy Mohd Zaifaizal/Mohd Azhar Abdul Jalil) ketiga, 30 mata.


Dalam kategori Wira, Fakhrusy Syakirin Rostam menebus kehampaan gagal menaiki podium di Batu Kawan apabila meraih gelaran juara dengan catatan masa keseluruhan 7:12.099s.


Pelumba AAP Mazoil Armstrong Motorsport itu menewaskan Mohd Hafiz Nor Azman (Mos Track Pro Yamaha Racing) yang berada di tangga kedua dengan catatan masa 7:14.027s manakala Mohd Hafizuddin Azahar ketiga, 7:19.970s.


Fakhrusy menjelaskan, “Saya cukup gembira dengan kemenangan ini sekali gus menebus kekecewaan apabila sekadar di tangga keempat pada pusingan lepas. Sememangnya saya begitu inginkan kemenangan ini kerana saya mahu mengukuhkan kedudukan dalam senarai keseluruhan untuk merebut mahkota kejuaraan pada tahun ini,” jelas pelumba 16 tahun itu.


Kemenangan ini turut membantu Fakhrusy naik ke tangga pertama dalam senarai keseluruhan dengan 38 mata manakala Hafiz di kedudukan kedua, 36 mata. Juara pusingan pertama, Mohd Izzat Zaidi Salehan yang gagal ke perlumbaan akhir kali ini turun ke tangga ketiga, kekal dengan 25 mata.


Keputusan: 

CP130
Race
1.Azlan Shah Kamaruzaman (Honda) 10'25.112s 2.Mohd Zaqhwan Zaidi (Honda) 10'25.345s 3.Mohd Taufiq Roslan (Yamaha) 10'26.866s 4,Ahmad Fazrul Sham (Yamaha) 10'27826s 5.Ahmad Fuad Baharudin (Yamaha) 10'31.313s

Kedudukan keseluruhan
1.Azlan Shah Kamaruzaman (Honda) 45 mata 2. Mohd Zaqhwan Zaidi (Honda) 45 mata 3. Mohd Taufiq Roslan (Yamaha) 23 mata 4.Norizman Ismail (Honda) 23 mata 5.Ahmad Fuad Baharudin (Yamaha) 22 mata

Team Standings
1.Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2 51 mata 2.Pachie Yuzy Honda Racing 51 mata 3.Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 1 39 mata 4.Faito Motobert Racing 35 mata 5.PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM 29 mata

CP115
Race
1. Shahril Izzuwan Mohd Noor (Yamaha) 8'33.558s 2.Mohd Iskandar Raduan (Yamaha) 8'33.889s 3.Ahmad Afif Amran (Yamaha) 8'35.232s 4.Mohd Farid Ahmad (Yamaha) 8'36.183s 5.Mohd Emir Firdaus Hasan (Honda) 8'37.321s

Kedudukan keseluruhan
1.Mohd Iskandar Raduan (Yamaha) 45 mata 2.Ahmad Abdul Kadir (Yamaha) 26 mata 3.Mohd Farid Ahmad (Yamaha) 26 mata 4.Shahril Izzuwan Mohd Noor (Yamaha) 25 mata 5. Mohd Azhar Abdul Jalil (Yamaha) 20 mata

Kedudukan pasukan
1. PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM 70 mata 2.CKJ Yamaha Racing 42 mata 3. Motul Yamaha YY Pang Racing 2 30 mata 4.APIDO Yamaha Boon Kui Racing 28 mata 5.M-Seki Liberty Honda Racing 24 mata

WIRA
Race
1. Fakrusy Syakirin Rostam (Honda)  7'12.099s 2.Mohd Hafiz Nor Azman (Yamaha) 7'14.027s 3.Mohd Hafizzuddin Azahar (Yamaha) 7'19.970s 4.Mohd Razmal Mohd Rohizad (Honda) 7'23.197s 5.Che Ku Amriq Asyraf (Yamaha) 7'24.444s

Kedudukan keseluruhan 
1.Fakrusy Syakirin Rostam (Honda) 38 mata 2.Mohd Hafiz Nor Azman (Yamaha) 36 mata 3.Mohd Izzat Zaidi Salehan (Yamaha) 25 mata 4.Tengku Amirul Haffiruddin (Yamaha) 20 mata 5.Che Ku Amriq Asyraf (Yamaha) 18 mata

No comments:

Post a Comment